Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Keresahan pekebun kelapa sawit dan pisang di Kampung Sungai Lerek, di sini, terhadap ancaman gajah jantan yang merosakkan tanaman berakhir apabila haiwan itu berjaya ditangkap, hari ini.

Difahamkan, gajah itu mula dikesan memasuki kawasan kebun milik penduduk pada 31 Mei lalu dengan kejadian terbaharu berlaku pada 23 Jun lalu menyebabkan tiga pekebun rugi hampir RM10,000 selepas tanaman mereka dirosakkan haiwan terbabit.

Pekebun, Mohd Mat Noor, 60, berkata gajah itu memasuki kebun kelapa sawitnya pada 31 Mei lalu dan dia pernah beberapa kali terserempak dengan mamalia berkenaan.

"Anak pokok kelapa sawit yang ditanam pada September tahun lalu dan 500 pokok pisang rosak kerana serangan gajah berkenaan dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM6,000," katanya ketika ditemui, di sini.

Seorang lagi pekebun, Nor Azmani Ismail, 42, berkata dia menyedari tanaman kelapa sawitnya dirosakkan gajah pada 21 Jun lalu.

"Memang terkejut apabila lihat tanaman dirosakkan dan pemeriksaan mendapati ada kesan tapak kaki gajah.

"Walaupun tidak pernah terserempak tetapi rasa bimbang itu tetap ada dan mujurlah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cepat bertindak untuk menangkapnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya mengambil masa hampir tujuh untuk mengeluarkan gajah berkenaan dari kawasan kebun.

Katanya, gajah jantan seberat dua tan berusia 16 tahun itu terlebih dahulu ditembak dengan ubat pelali pada Khamis lalu bagi menenangkannya.

"Gajah itu akan dipindahkan ke Hutan Royal Belum, Gerik, Perak," katanya.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman (kanan) melihat dua ekor gajah denak yang digunakan untuk memindahkan gajah liar di Kampung Sungai Lerek. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman (kanan) melihat dua ekor gajah denak yang digunakan untuk memindahkan gajah liar di Kampung Sungai Lerek. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:13 PM