AMIRUL Shazali Azman bersama baju T Nike Geisha keluaran 70-an yang dibelinya dengan harga RM10,700. FOTO Ihsan Amirul Shazali Azman
AMIRUL Shazali Azman bersama baju T Nike Geisha keluaran 70-an yang dibelinya dengan harga RM10,700. FOTO Ihsan Amirul Shazali Azman
Oleh Redzuan Muharam


Batu Pahat: Keinginan mahu memiliki mendorong Amirul Shazali Azman membeli baju-T vintaj Nike Geisha pada harga RM10,700, dua tahun lalu.

Amirul Shazali, 24, yang menetap di Kampung Parit Jelutong, di sini, berkata, pakaian keluaran 1970-an itu dibeli daripada peniaga baju terpakai ketika sesi siaran langsung di satu platform laman sosial.

Menurutnya, baju-T itu dibeli menggunakan wang simpanan hasil usahanya menjual pakaian terpakai.

"Berat hati juga nak beli kerana harganya bukan murah, tapi kerana teringin sangat jadi saya nekad saja waktu itu.

"Saya bayar menerusi kaedah kiriman wang ke akaun bank dan yakin (untuk beli) kerana tahu penjual itu boleh dipercayai.

"Mereka yang menonton siaran langsung waktu itu juga terkejut, tetapi sebagai penggemar baju vintaj, saya sangat puas dapat memilikinya kerana dalam negara memang ada, tapi tak semua nak menjualnya, jadi bukan semua orang ada," katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia masih menyimpan baju-T itu sehingga kini dan belum terfikir menjualnya.

"Buat masa ini, ia masih ada dan mungkin tak dijual tetapi boleh jadi sebaliknya, mana tahu satu hari saya perlukan duit.

"Bukan hanya Nike Geisha kerana saya pernah beli sehelai lagi baju-T berharga RM14,000 yang pernah dijual orang lain dengan harga RM18,000," katanya.

Dalam pada itu, Amirul Shazali berkata, dia kini mencari rezeki dengan menjual pakaian terpakai secara dalam talian dan melakukannya secara sepenuh masa sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu.

Bagaimanapun, perjalanannnya tidak mudah kerana pernah bekerja sebagai tukang kebun di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, selepas tamat persekolahan, kru pembersihan serta mengambil upah mencuci pinggan sebelum menjadi peniaga pakaian terpakai sepenuh masa.

"Sebenarnya, sejak sekolah lagi saya menjual baju terpakai dan asalnya nak cari duit poket.

"Selain itu, ia juga salah satu cara saya merasa (beli baju) kerana dulu nampak orang lain pakai baju mahal, tapi tak ada duit nak beli.

"Lagipun, ayah dulu kerja pemandu bas dengan gaji tak seberapa, jadi nak minta (duit) dengan ayah malu, tapi apabila berniaga, saya dapat pakai (baju) dan pulangan duit hasil jualan," katanya.

Katanya, pada mulanya keluarga tidak memberi galakan, malah ada yang memperlekehkannya dengan mendakwa tidak boleh menjadi kaya raya dengan menjual pakaian terpakai.

"Tapi, syukur (dengan rezeki ini) dapat juga beli kereta, tanah dan kini ada tiga pejabat hasil titik peluh berniaga," katanya yang merancang membuka butik dan membawa ibu bapanya mengerjakan umrah di Tanah Suci, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 7:00 AM