TANGKAP layar video tular di TikTok Muhammad Ayob. bongsunya. FOTO Ihsan Muhammad Ayob Ibrahim
TANGKAP layar video tular di TikTok Muhammad Ayob. bongsunya. FOTO Ihsan Muhammad Ayob Ibrahim
Redzuan Muharam


Batu Gajah: "Kalau kasut ni (ini) masuk dewan konvo kamu nanti boleh ke? Tadi abah beli kasut ni RM8. Boleh kot ye pakai kasut ni," demikian kata-kata Ibrahim Neerdin, 66, yang meruntun hati anaknya, Muhammad Ayob Ibrahim, 26.

Muhammad Ayob sebak kerana tidak menyangka bapanya, Ibrahim sanggup membeli kasut untuk dipakai ke majlis konvokesyen, meskipun ia hanya barangan terpakai.

Berkongsi kisah sebenar, Muhammad Ayob dari Kampung Ara Payung, di sini menuntut dalam Bacelor Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan seorang daripada bakal graduan yang akan menerima skrol sempena majlis konvokesyen kali ke 47 universiti itu pada 30 November depan.

Muhammad Ayob yang juga pekerja sambilan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini berkata, dia ada memberitahu bapanya mengenai etika pemakaian untuk hadir ke majlis rasmi berkenaan.

"Baru-baru ini, saya balik makan tengah hari dan terkejut apabila abah tunjuk sepasang kasut yang dibelinya di kedai barangan terpakai untuk hadir ke majlis konvokesyen.

"Sebak pula rasanya bukan kerana abah beli di kedai terpakai memandangkan kami bukan daripada keluarga senang jadi sudah biasa ke situ (kedai barangan terpakai).

"Tapi kerana saya memang sudah niat dan rancang nak belikan kasut serta baju baharu buat abah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR kenangan Muhammad Ayob bersama bapanya, Ibrahim. FOTO Ihsan Muhammad Ayob Ibrahim
GAMBAR kenangan Muhammad Ayob bersama bapanya, Ibrahim. FOTO Ihsan Muhammad Ayob Ibrahim

Mengenangkan hal itu mendorong Muhammad Ayob merealisasikan hasratnya untuk membeli kasut dan baju kemeja buat bapanya semalam.

"Kebetulan semalam ulang tahun kelahiran abah jadi saya bawa dia keluar seterusnya membelikannya baju serta kasut baharu. Abah sangat gembira dan ucap terima kasih kepada saya. Tak cukup dengan itu, abah kongsikan juga gambar berkenaan dengan keluarganya di WhatsApp kerana terlalu gembira.

"Itu yang saya mampu lakukan buat abah kerana kini, hanya ada dia selain adik beradik sejak ibu meninggal dunia akibat barah payudara pada 2014," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Muhammad Ayob berkata, niatnya sekadar untuk simpan ia sebagai kenangan.

Katanya, dia hanya sedar videonya itu meraih perhatian selepas diberitahu rakan.

"Lebih menyentuh hati saya apabila ramai nyatakan hasrat untuk beli dan hadiahkan kasut. Tapi saya tolak dengan baik kerana buat masa ini mampu untuk belikan abah walaupun bukan barang mewah.

"Lagipun, perkongsian saya itu bukan untuk raih simpati sesiapa dan enggan orang berfikiran begitu. Apa pun, terima kasih kepada yang mendoakan kami dan bagi mereka masih ada abah, hargailah selagi ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:56 PM