Mohd Roji Kawi

Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRN-12 Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Disember manakala pengundian awal ialah pada 14 Disember.

"SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung pembubaran DUN Sarawak yang ke-11 pada 3 November 2021.

"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan menetapkan PRN-12 Sarawak perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN Sarawak," katanya sambil memaklumkan tarikh keluar writ ialah pada 24 November lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember.

Menurutnya, PRN-12 akan menggunakan daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) ST2/2021 yang dikemaskini sehingga 2 November lalu.

DATUK Abdul Ghani Salleh menunjuk tarikh hari mengundi bagi PRN Ke-12 Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
DATUK Abdul Ghani Salleh menunjuk tarikh hari mengundi bagi PRN Ke-12 Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI

"Daftar Pemilih itu mengandungi 1,252,014 orang pengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya itu akan mula dijual pada 1 Disember dan pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka menerusi laman sosial SPR iaitu pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau menerusi aplikasi MySPR Semak dengan semakan boleh dibuat mulai 1 Disember," katanya.

Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, permohonan undi pos untuk mengundi Kategori Borang 1B dan Kategori Borang 1C dibuka mulai 8 November lalu sehingga 24 November.

"Bagi kategori Borang 1A pula bermula 24 November sehingga 3 Disember manakala permohonan undi pos bagi kategori 1B dan 1C dilaksanakan secara dalam talian berbanding secara manual sebelum ini.

"Permohonan untuk mengundi secara pos boleh dilakukan menerusi MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 12:00 PM