GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sudah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (Dun)/Dewan Undangan (DU)/Dewan Negeri (DN) yang ke-14 bagi Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas berhubungan penetapan tarikh-tarikh penting PRU Dun ke-15, Rabu ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, suruhanjaya menerima notis pembubaran rasmi daripada Speaker Dun/DU/DN masing-masing.

"Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Minggu lalu, Kelantan menjadi negeri pertama dibubarkan pada 22 Jun, diikuti Selangor sehari selepas itu, tiga Dun akan dibubarkan 28 Jun iaitu Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah, manakala Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi secara rasmi dibubarkan pada 1 Julai.

Dua lagi kerusi kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara Adun Belantek dari Pas Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:45 AM