Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri Chow Kon Yeow menghadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, pagi ini, untuk mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri, di Seri Mutiara di sini, pada 8 pagi.

Ketua Menteri tiba di Seri Mutiara pada 7.53 pagi tadi.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kemudiannya mengesahkan pembubaran Dun Pulau Pinang berkuat kuasa esok setelah mendapat perkenan Ahmad Fuzi sebentar tadi.

"Saya sudah mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri untuk menandatangani proklamasi membubarkan Dun Pulau Pinang bagi membuka jalan pilihan raya negeri (PRN) yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah semua negeri membubarkan Dun masing-masing.

"Jadi saya berasa lega (proses) ini berakhir jadi kita boleh bergerak ke hadapan untuk melakukan persediaan PRN," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninggalkan perkarangan Seri Mutiara pada 8.33 pagi.

Chow Kon Yeow meninggalkan kediaman rasmi Seri Mutiara selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow meninggalkan kediaman rasmi Seri Mutiara selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP negeri dijadual akan mengadakan sidang media bersama barisan Adun Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 2.30 petang ini.

Tempoh mandat lima tahun Dun Pulau Pinang sepatutnya masih berbaki sehingga 2 Ogos 2023 selepas bermula pada tarikh persidangan pertama diadakan pada 3 Ogos 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

PH memenangi 37 daripada 40 kerusi Dun Pulau Pinang termasuk kerusi-kerusi daripada calon Bersatu yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH pada PRU-14.

Barisan Nasional (BN) menang dua kerusi Dun iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.

Bagaimanapun, empat Adun Bersatu iaitu wakil Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam digugurkan dari Dun Pulau Pinang selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan mengikut undang-undang antilompat parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 9:51 AM