Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan atau tidak akan diumumkan secara rasmi esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pulau Pinang sudah mencuba sedaya upaya dalam mengemukakan hujah terbaik untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak.

"Kita dapat meyakinkan DAP Pusat untuk membawa isu ini pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung semalam dan saya pun ada hadir.

"Seperti diumumkan selepas mesyuarat berkenaan kita tunggu pengumuman rasmi pada hari esok," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kon Yeow yang juga juga Pengerusi DAP negeri ketika disoal adakah beliau berasa kecewa dengan hasil perbincangan mesyuarat semalam menjawab, "belum ada keputusan apa kecewanya," katanya secara berseloroh.

CHOW Kon Yeow ketika ditemui media di Hotel Gurney. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow ketika ditemui media di Hotel Gurney. FOTO Mikail Ong

Beliau menegaskan, secara hakikatnya mesyuarat PH Pusat sudah memberi kesempatan dalam mendengar rayuan khususnya daripada DAP Pulau Pinang dalam usaha membawa isu berkenaan untuk dikaji semula pada mesyuarat PH.

Kon Yeow berkata, seruan daripada rakyat selain memudahkan aspek gerak atur logistik menjadi antara faktor-faktor yang dipertimbangkan untuk membubarkan DUN Pulau Pinang.

"Seperti saya umumkan PH Pulau Pinang membawa isu (tersebut) pada peringkat pusat untuk keputusan muktamad dan arahan berkaitan.

"Jadi ia langkah demi langkah dan kita tunggu pengumuman esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 8:36 PM