Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Menteri Besar dan Ketua Menteri dari enam negeri dijadual akan menghadiri mesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada Jun atau Julai tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pertemuan itu diadakan bertujuan mendapat kata sepakat untuk keenam-enam negeri menentukan tarikh bersesuaian untuk pembubaran Dun di negeri masing-masing.

"Mesyuarat akan diadakan minggu depan dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amiruddin Shari) yang mengambil inisiatif menganjurkan perjumpaan terbabit.

"Tempoh masa (pembubaran Dun) semakin hampir. Jika tiada perjumpaan itu sekalipun, PRN akan tetap diadakan dan mungkin sesuai berlangsung Jun atau Julai," katanya hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, pemimpin PH negeri yang bermesyuarat sebelum ini bersetuju bahawa Jun adalah masa terbaik untuk mengadakan PRN kerana tempoh waktu singkat untuk membubarkan Dun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata pembubaran Dun negeri itu pada 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.

Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menjangkakan pembubaran Dun Kedah selepas pertengahan Jun ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu selain Pulau Pinang dan Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini turut berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak bagi memudahkan penyelarasan tugas di negeri terbabit.

KON Yeow ditemui media selepas pelancaran Armenian Park hari ini. FOTO Mikail Ong.
KON Yeow ditemui media selepas pelancaran Armenian Park hari ini. FOTO Mikail Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:39 PM