Keadaan kereta Perodua Alza  yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan kereta Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Manakala, anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika dua beranak itu dari arah Kuala Lumpur untuk balik ke kediaman keluarga di Taman Hidayah di daerah ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Alza dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu terlanggar kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Rexton SsangYong yang datang dari arah bertentangan.

"Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Alza itu berpusing dan melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu Perodua Alza itu maut di tempat kejadian manakala anaknya pula disahkan meninggal dunia semasa dirawat di HSNZ Kuala Terengganu," katanya.

Mohd Zain berkata, pemandu jenis Rexton SsangYong berusia 37 tahun bersama lima lagi penumpang berusia antara lima tahun hingga 34 tahun yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan manakala lelaki yang memandu Perodua Kenari berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:50 PM