Ahmad Hakkim bersama kekasihnya yang juga OKU pekak, Najwa. FOTO Ahmad Hakkim Al Azeem
Ahmad Hakkim bersama kekasihnya yang juga OKU pekak, Najwa. FOTO Ahmad Hakkim Al Azeem
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pemuda ini mengambil inisiatif belajar bahasa isyarat bagi memudahkannya berkomunikasi dengan kekasih yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak.

Ahmad Hakkim Al Azeem, 20, berkata, dia mula belajar bahasa isyarat sejak mengenali kekasihnya Nur Najwa Nabilah Mohamad Nazarie, 22, pada September lalu.

Menurutnya, peluang mempelajari bahasa isyarat itu dimanfaatkan dengan berkongsi di TikTok selain beranggapan bahasa isyarat juga adalah bahasa untuk semua.

"Saya buat kandungan bahasa isyarat di TikTok sebab niat nak mengajar bahasa ini untuk semua orang. Saya terfikir bahasa isyarat tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan kita kerana sebagai orang normal perlu tahu dan belajar.

"Jadi, saya mula belajar bahasa isyarat ini sejak hujung September lalu selepas berkawan dengan Najwa yang juga OKU pendengaran iaitu pekak. Kiranya, sudah lebih dua bulan saya belajar bahasa ini. Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini saya boleh faham bahasa isyarat. Apabila saya tahu, saya juga mahu semua orang tahu berbahasa isyarat.

"Sebab itu, saya selalu cakap dalam sesi siaran langsung di TikTok, tagline saya gunakan adalah 'bahasa isyarat bahasa kita juga'. Jadi, niat saya juga nak buat orang bisu dan pekak gembira bila bahasa isyarat difahami semua orang," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Hakkim yang menetap di Kota Kemuning, Selangor berkata, dia semakin selesa dan gembira apabila dapat menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan golongan itu.

Malah, menurutnya, ada ketika dia terbawa-bawa menggunakan bahasa itu kepada orang biasa.

"Mula-mula memang ramai ingat saya OKU. Saya mula belajar dengan ABC. Selepas berbulan, diakui saya sudah terbiasa dengan bahasa isyarat hinggakan pernah menggunakannya kepada orang biasa. Apa pun, saya berasa gembira bila berkomunikasi dengan orang OKU.

"Bagi saya tak pelik pun orang normal belajar atau menguasai bahasa isyarat. Sebaliknya ia lebih membantu dan memudahkan. Disebabkan itu, saya terbuka untuk belajar apabila mula berkenalan dengan Najwa," katanya.

Ahmad Hakkim yang juga penuntut di Management & Science University (MSU) Shah Alam berkata, dia menerima kekurangan dimiliki kekasihnya itu dan tidak menganggap ia halangan untuk mereka terus bersama.

"Dia pernah juga cakap tidakkah saya berasa malu berkawan dengannya yang pekak. Saya kata, tak kisah langsung. Saya juga cakap, kekurangan dia bukan halangan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:04 PM