AUNI ketika pertandingan pakaian beragam. (Gambar kiri) Auni bergambar bersama bapanya Mohd Anuar. FOTO Ihsan Pembaca
AUNI ketika pertandingan pakaian beragam. (Gambar kiri) Auni bergambar bersama bapanya Mohd Anuar. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Langkap: "Auni pilih pakai baju kerja ayah sebab mahu menjaga alam sekitar, sayang dan bangga dengan ayah yang menjaga kebersihan kawasan,"

Itu reaksi Nur Auni Awatif Mohd Anuar, 8, ketika ditanya bapa, Mohd Anuar Muhammad Yusop, 41, mengapa memilih memakai baju kerja bapanya pada pertandingan pakaian beragam bertemakan kerjaya sempena Hari Kanak-Kanak di sekolahnya, di sini, pada 30 November lalu.

Kisah Nur Auni Awatif yang memakai baju kerja bapanya berkerja sebagai pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini, mendapat perhatian warganet selepas videonya dimuat naik bapanya di TikTok, baru-baru ini.

Menceritakan kisah itu, ibunya, Nor Fadilah Jaafar, 39, berkata, anaknya memilih memakai pakaian itu kerana menghargai kerja suaminya walaupun cita-citanya mahu menjadi chef.

Guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) itu berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu sangat rapat dengan bapanya dan sebelum ini pernah mengikut Mohd Anuar membersihkan tapak pasar malam.

"Nur Auni Awatif suka makan dan mahu menjadi chef tetapi dia tidak mahu memakai pakaian itu kerana mahukan kelainan selain sebagai tanda sayangnya pada ayahnya.

"Saya suruh bergaya seperti ustazah pun dia tak mahu dan selepas dipujuk akhirnya Auni mencuba seragam anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) yang dipinjam suami dari rakannya tetapi dia tidak muat serta tidak selesa memakainya.

"Kemudian dia terus mencuba t-shirt kerja suami yang dicari sendiri di almari. Walaupun sedikit besar dia cakap selesa memakainya, malah terus meminta 'pengepit' dan plastik sampah untuk dia gayakan di atas pentas," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Nor Fadilah berkata, mereka pada mulanya meminta anak bongsu itu memilih kerjaya lain walaupun itu hanya pertandingan sahaja.

"Kami tanya juga tidak kisah ke pakai baju kerja ayah dan tak sangka Auni cakap 'tak apa, mak dan ayah yang bagi Auni makan, sediakan tempat tinggal dan bangga dengan ayah'.

"Auni bangun awal dan teruja untuk bersiap ke sekolah dan walaupun dia hanya dapat sagu hati saja dalam pertandingan itu tetapi dia tak sedih langsung, malah berasa gembira," katanya.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, dia terharu dan tidak sangka dengan reaksi Nur Auni Awatif kerana anaknya itu masih kecil.

"Saya seperti mahu menangis apabila mendengar apa yang Auni cakap itu sebab tidak malu, malah bangga dengan kerja saya.

"Itu antara kenangan yang mengusik hati saya selain kenangan dia seronok mendapat basikal rosak yang saya beli dengan harga RM10 saja.

"Saya baiki dan cat semula basikal itu dan tetapi dia sangat gembira macam dapat basikal baru.

Saya bersyukur Auni dan dua kakaknya sangat memahami kehidupan sederhana kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 9:09 PM