Salmany Akir Ahmad
Salmany Akir Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman


Hulu Klang : Anak Allahyarham Mat London, Salmany Akir Ahmad, 42, memaklumkan pada mulanya merancang untuk mengebumikan jenazah Allahyarham bapanya berdekatan tempat tinggalnya di Taman Selasih, Gombak.

Bagaimanapun, mereka tidak jadi berbuat demikian disebabkan kehendak rakan-rakan bapanya yang mahu jenazah disemadikan di Taman Melawati, di sini.

"Kami semua dah berkumpul di Hospital Kuala Lumpur sejak jam 10.30 malam tadi. Memang kita dah jangka. Doktor pun dah cakap boleh panggil keluarga semua.

"Doktor juga beritahu hayat ayah tak lama. Cuma kita tak tahu jam berapa dia akan pergi. Selepas itu saya balik uruskan anak.

"Yang paling terkesan ketika itu ialah waktu Subuh. Betul-betul azan Subuh habis, abang saya buat panggilan video tunjuk mesin pernafasan untuk maklumkan ayah dah tiada," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, di sini.

Mereka seterusnya menunggu pengisytiharan doktor berkenaan kematian bapa mereka.

"Ayah tinggal di Taman Melati dan kawan-kawannya pun cakap dia memang nak dikebumikan di perkuburan Taman Melawati berdekatan sini. Jadi kita akurlah dengan permintaan mereka.

"Semuanya kawan-kawan yang uruskan termasuk van jenazah. Sebenarnya dalam jangka masa sebulan dia sakit, saya dah rancang siapa nak buat itu dan ini. Kami dah sedia. Abang dari Kedah pun dah balik sini.

"Bila dah jadi begini, kawan-kawannya kata masjid akan uruskan. Sebab itu kita dapat lihat semua dah disediakan," katanya.

Menurutnya, bapanya dimasukkan ke hospital pada 12 Julai dan ketika itu sudah dimasukkan alat bantuan pernafasan dan tidak boleh bercakap.

"Keesokannya saya pergi hospital dan keadaannya okey. Dia suruh saya urut dia. Saya bergurau kata, nak urut lama-lama kenalah balik rumah.

"Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Selepas itu dia ditidurkan. Ayah terlalu 'workaholic'. Dia ada sedar sekejap dan minta kunci kereta kerana ada kerja.

"Ada wakil Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) cakap ketika itu dia ada mesyuarat dengan menteri. Itu yang kita tahu dia kuat bekerja," katanya.

Salmany berkata, tahap kesihatan bapanya naik turun dan itulah sebabnya dia mengemaskini keadaan bapanya di Facebook.

"Saya ada kemas kini status papa dah okey, dah stabil. Dia pun dah mula gerak-gerak badan dan kaki," katanya.

Salmany adalah anak keempat Ahmad daripada enam beradik menerusi perkahwinan pertama dengan Saodah Abdul Wahab.

Manakala perkahwinan kedua Allahyarham dengan pelakon, Datin Fadilah Mansor dikurniakan dua anak.

Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Hulu Klang.

Terdahulu jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Mardhiyah di sini dan mendapat penghormatan ramai rakan-rakan penggiat seni antaranya Datuk Yusof Haslam, Aziz M Osman, Rashid Sibir, Den Wahab dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 4:28 PM