SHARIFAH Suzi Suriani menunjukkan gambar cucunya, Sayyid Uwais Al-Qarni atau Adam yang terkorban dalam kemalangan bersama ibu dan dua adik kembar yang masih dalam kandungan. FOTO Baharom Bakar
SHARIFAH Suzi Suriani menunjukkan gambar cucunya, Sayyid Uwais Al-Qarni atau Adam yang terkorban dalam kemalangan bersama ibu dan dua adik kembar yang masih dalam kandungan. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Tenanglah Adam (Sayyid Uwais Al-Qarni) bersama ibu dan dua adik," kata Sharifah Suzi Suriani Sayed Anuar, 53.

Sharifah Suzi Suriani adalah ibu kepada Allahyarhamah Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang meninggal dunia bersama anak istimewanya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman, 12, dan dua anak kembar yang masih dalam kandungan dalam kemalangan di Kilometer 83 Kampung Bintang, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, petang semalam.

Menurutnya, kemalangan membabitkan anak dan cucunya, Adam yang juga kanak-kanak istimewa kerana dilahirkan dengan otak di luar tempurung berlaku ketika Fatin Hazlin dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan susulan yang dijadualkan hari ini.

Katanya, Fatin Hazlin dan suami, Mohd Lekman Zakaria, 36, serta dua lagi anak, Nur Qaireen Luffiya serta Sayyid Lutfi sepatutnya ke HUSM awal pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, Fatin Hazlin dan Mohd Lekman mengubah fikiran ke HUSM sehari awal iaitu petang semalam.

"Arwah hanya memaklumkan mahu ke HUSM ketika berjumpa di majlis kenduri di rumah saudara kira-kira jam 2 petang semalam.

"Ketika di majlis itu juga, beberapa rakan Fatin Hazlin memberitahu wajah arwah yang sarat mengandung berseri-seri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Hampar, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4.40 petang semalam, Fatin Hazlin terbunuh di tempat kejadian apabila Perodua Alza dipandu bertembung dengan sebuah lori tangki.

Difahamkan, Fatin Hazlin bertukar tempat sebagai pemandu selepas suaminya dipercayai mengantuk.

Adam pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu.

Kisah Adam pernah mendapat liputan Harian Metro tahun lalu disebabkan mengalami penyakit saraf dan dilahirkan dengan otak di luar tempurung kepala.

Mohd Lekman dan dua lagi anak iaitu Nur Qaireen Luffiya serta Sayyid Lutfi hanya mengalami kecederaan ringan dan masih dirawat di Hospital Setiu.

Sharifah Suzi Suriani berkata, anaknya juga tidak bercakap banyak dan hanya memaklumkan mahu bertolak ke Kota Bharu petang semalam ketika berjumpa di majlis kenduri.

"Ketika bertolak ke Kota Bharu, saya nampak Mohd Lekman yang ketika itu seolah-olah tidak bermaya disebabkan keletihan memandu kereta.

"Beberapa minit sebelum kemalangan berlaku, arwah sempat menghubungi saya memaklumkan mereka berhenti di bahu jalan selepas Mohd Lekman mengadu mengantuk," katanya.

Dia berkata, anaknya dan menantu setiap bulan berulang-alik ke HUSM untuk rawatan susulan Adam.

"Penyakit saraf dialami Adam semakin sembuh dan kakinya sudah boleh digerakkan tanpa bantuan Fatin Hazlin dan Mohd Lekman," katanya.

Menurutnya, jenazah Fatin Hazlin dan Adam akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan di Kampung Batu Hampar lewat petang ini selepas proses bedah siasat selesai dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:01 PM