Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Usianya baru 40 hari, namun Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman atau Adam bakal menempuhi hidup berliku selepas disahkan menghidap penyakit saraf tulang belakang dan otak di luar tempurung kepala.

Penyakit yang dideritai itu menyebabkan bayi ini mungkin lumpuh seumur hidup selain didapati mempunyai lebihan air di dalam kepala, manakala otaknya terkeluar daripada tempurung kepala.

Menurut ibunya, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, ketika kandungan berusia empat bulan, doktor pernah mencadangkan supaya menggugurkan janinnya itu.

Katanya, ia berikutan imbasan mendapati berlaku regangan tulang belakang yang boleh menyebabkan kecacatan seumur hidup pada janin dikandung.

"Bagaimanapun, saya bertekad mahu meneruskan juga kandungan ini sehinggalah selamat dilahirkan secara normal pada 13 Januari lalu.

"Saya sudah tahu masalah akan dihadapi Adam ketika masih dalam kandungan lagi, tetapi berat untuk saya menerima cadangan supaya menggugurkan kandungan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, hari ini.

FATIN (kiri) dan suami bersama Sayyid Uwais Al-Qarni yang menghidap penyakit 'myelomeningocele with encephalocoele' (sakit saraf) dan kedudukan otak di luar tempurung kepala. FOTO Ghazali Kori
FATIN (kiri) dan suami bersama Sayyid Uwais Al-Qarni yang menghidap penyakit 'myelomeningocele with encephalocoele' (sakit saraf) dan kedudukan otak di luar tempurung kepala. FOTO Ghazali Kori

Selain Adam, hasil perkahwinan Fatin Hazlin dengan Mohd Lekman Zakaria, 35, pasangan ini dikurniakan dua lagi anak iaitu Sayyid Luthfi, 6, dan Nur Qaireen Luthfia, 4.

Fatin Hazlin berkata, Adam pernah menjalani pembedahan di bahagian belakang bertujuan membetulkan saraf tunjangnya ketika berusia tujuh hari.

Bagaimanapun, katanya, Adam disahkan lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah dan didapati mempunyai lebihan air di dalam kepala manakala otaknya terkeluar daripada tempurung kepala.

"Selain berdoa, saya dan suami akan terus berusaha agar penyakit dihidapi Adam sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain," katanya sambil mengesahkan akan membawa Adam menjalani pemeriksaan pada kepalanya yang semakin membesar di Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM), Kota Baharu, Kelantan, awal bulan depan.

Mengenai perbelanjaan, Fatin Hazlin menjelaskan, dia membelanjakan kira-kira RM1,500 seminggu untuk membeli susu khas, peralatan perubatan dan cecair pembersih najis, ubat khas bagi menghancurkan najis serta lampin pakai buang.

Katanya, selain bantuan kewangan daripada ibu bapa, Mazlam Mohd Noor, 56, dan Sharifah Suzie Suriani S Anuar, 52, penduduk kampung juga ada menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos.

"Suami hanya berkerja sendiri dan pendapatannya tidak menentu, tetapi sejak Adam dilahirkan, suami tidak berkerja kerana menjaga Adam yang memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan berlaku jangkitan kuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:08 PM