ANTARA kenderaan polis yang rosak akibat rusuhan berkenaan. FOTO EPA
ANTARA kenderaan polis yang rosak akibat rusuhan berkenaan. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Kematian akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 174 mangsa, menurut Ketua Polis Jawa TImur, Nico Afinta.

Selepas penyokong kepada pasukan tuan rumah yang kalah meluru ke padang, pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Ia menyebabkan ada individu yang dipijak dan sesak nafas.

Timbalan Gabenor Jawa Timur Emil Dardak memberitahu Kompas TV bahawa lebih 100 orang dilaporkan cedera dan mereka dirawat di lapan hospital,

Satu video yang dikongsi di media sosial menunjukkan peminat, memakai pakaian berwarna merah dan biru menyerbu padang selepas pasukan Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, dan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Menteri Sukan Zainudin Amali berkata, pihak berkuasa akan menilai semula keselamatan pada perlawanan bola sepak dan mempertimbang untuk tidak membenarkan penonton pada perlawanan selepas insiden berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sudah menunda perlawanan yang dijadualkan pada minggu depan kerana insiden itu, dan mengharamkan Arema FC daripada menjadi tuan rumah untuk sepanjang musim ini.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras untuk Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mohammad Mahfud Mahmodin berkata: "Saya perlu tegaskan bahawa tragedi ini bukan pertempuran antara penyokong Persebaya dan Arema. Ini kerana penyokong Persebaya tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan berkenaan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 8:24 PM