PENYOKONG mengangkat mangsa yang cedera ketika rusuhan di Stadium Kanjuruhan. FOTO AFP
PENYOKONG mengangkat mangsa yang cedera ketika rusuhan di Stadium Kanjuruhan. FOTO AFP
Reuters

Jakarta: Angka kematian akibat rempuhan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Malang, wilayah Jawa Timur meningkat kepada 129 orang, kata jurucakap polis.

Penyokong Arema FC masuk ke dalam padang selepas pasukan mereka tumpas 2-3 kepada Persebaya Surabaya, kekalahan pertama lebih dua dekad kepada musuh ketat mereka.

Polis, yang menyifatkan insiden itu sebagai 'rusuhan', cuba memujuk peminat untuk kembali ke tempat duduk dan melepaskan gas pemedih mata ke tempat duduk selepas dua anggota terbunuh.

Kebanyakan mangsa yang terkorban disebabkan terpijak sesama sendiri.

"Dalam kejadian itu, 129 orang maut, dua daripadanya adalah anggota polis. 34 orang meninggal dunia di dalam stadium dan selebihnya di hospital.

"Mereka cuba keluar melalui pintu stadium. Kemudian berlakunya kesesakan, dalam proses ramai yang berkumpul itu ada yang sesak nafas, kekurangan oksigen," kata Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta dalam satu kenyataan.

Kerajaan Indonesia meminta maaf di atas insiden berkenaan dan berjanji akan berjanji menyiasat kejadian rempuhan itu.

"Kami kesal dengan kejadian ini... ini adalah insiden yang dikesali yang 'memburukkan' bola sepak kami pada masa penyokong boleh menonton perlawanan bola sepak di stadium.

"Kami akan menilai secara menyeluruh penganjuran perlawanan dan kehadiran penyokong. Adakah kami akan kembali melarang penyokong daripada menghadiri perlawanan? Itu yang akan kami bincangkan," kata Menteri Belia dan Sukan Indonesia Zainudin Amali kepada penyiar Kompas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 9:36 AM