Reuters

Jakarta: Ketua polis Indonesia di wilayah Jawa Timur berkata seramai 127 orang terkorban dan 180 lagi cedera selepas penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika kekecohan penyokong yang berlaku dalam perlawanan liga bola sepak negara berkenaan.

Penyokong kelab Arema yang tumpas dalam perlawanan berkenaan masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata sekali gus mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlakunya kes sesak nafas, kata Nico Afinta kepada wartawan.

POLIS berdiri berhampiran serpihan kenderaan polis yang rosak selepas pertembungan antara penyokong Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang.. FOTO AP
POLIS berdiri berhampiran serpihan kenderaan polis yang rosak selepas pertembungan antara penyokong Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang.. FOTO AP

Sementara itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sedang menyiasat rusuhan yang berlaku selepas perlawanan di daerah Malang malam tadi, apabila media melaporkan adanya kematian dan kecederaan penyokong semasa kejadian itu.

PSSI dalam kenyataannya berkata juga menangguhkan saingan liga berkenaan selama seminggu.

Kekecohan itu berlaku selepas perlawanan antara dua pasukan Jawa Timur, Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Penyokong Arema dan Persebaya bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan di Malang, Jawa Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 8:18 AM