Radzi (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan (Guru Gigih Pedalaman) kepada Cikgu Mohammad Irfan Mustaqim Ariffin dari SK Pos Musoh Lz Tapah, Perak sempena Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan kampus Bachok di sini hari ini. FOTO BERNAMA

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Bachok: Diancam binatang buas dan merempuh perjalanan sejauh 50 kilometer (km) setiap hari untuk menabur bakti kepada murid Orang Asli di Tapah, Perak.

Begitu pengorbanan perlu ditempuh oleh seorang guru, Mohd Irfan Mustakim Ariffin, 30, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musoh Lz, Tapah sejak lima tahun lalu, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pendidikan (Guru Gigih Pedalaman) dan menerima wang tunai RM5,000.

Mohd Irfan berkata, walaupun mengajar murid Orang Asli di pedalaman, beliau berasa gembira dan sentiasa bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada mereka.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Guru Penolong Akademik dan mengajar Bahasa Melayu, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani berkata, penghargaan diterima itu sangat tinggi serta segala kegigihannya selama ini terubat.

"Walaupun pelbagai kesukaran yang mereka (murid Orang Asli) hadapi namun kegigihan kita sebagai guru mereka akan dibalas apabila mereka cemerlang dalam pelajaran.

"Kita sebagai guru tidak boleh memandang rendah kepada murid pedalaman kerana mereka juga boleh cemerlang seperti murid lain," katanya ketika ditemui di Majlis Apreasiasi Festival Guru Malaysia 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor, Perak, Julita Joseph, 39, yang menerima Anugerah Khas Guru Orang Asli berkata, beliau mengadakan kelas tuisyen secara percuma kepada murid Orang Asli setiap minggu sejak lima tahun lalu.

Katanya, beliau juga sentiasa masuk kampung untuk bertanya masalah yang dihadapi oleh murid terutama bagi mereka yang tidak hadir ke sekolah.

"Saya mengadakan kelas tuisyen bagi subjek Sejarah di dewan perkampungan Orang Asli dengan kerjasama tok batin bagi memastikan murid saya cemerlang dan memperoleh sijil bagi mereka yang mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka," katanya yang menerima wang tunai RM5,000.

Radzi (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Guru Orang Asli kepada seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor, Perak, Julita Joseph, 39, yang menerima wang tunai RM5,000 selepas beliau mengadakan kelas tuisyen secara percuma kepada murid Orang Asli setiap minggu sejak lima tahun lalu pada Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 8:00 AM