Balqis Jazimah Zahari

Sungai Siput: Lebih 5,000 guru akan diambil setiap tahun mulai tahun ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, sebelum ini, jumlah pengambilan antara 4,000 hingga 5,000 sahaja, bagaimanapun jumlah itu akan ditambah bermula tahun ini.

"Ia susulan pendekatan kementerian menukar pendekatan kepada sistem kluster mata pelajaran.

"Ketika saya masuk ke kementerian, kekosongan guru pada masa itu adalah sebanyak 18,702 orang, selepas kita membuat pengambilan one-off guru, kita dapat mengambil lebih 16,000 orang iaitu 88 peratus daripada keseluruhan.

"Kita sedang ikhtiar bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk jumlah yang akan diambil lebih ramai berbanding sebelum ini dan jumlahnya dijangka akan lebih dari sebelum Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir program Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Asli (OAOSC) di sini hari ini.

RADZI  (tengah) bergambar bersama orang ramai ketika hadir pada Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli. FOTO L Manimaran.
RADZI (tengah) bergambar bersama orang ramai ketika hadir pada Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli. FOTO L Manimaran.

Radzi berkata, antara isu yang menyebabkan kekurangan guru adalah berlaku 'backlog' atau pengambilan guru yang begitu lama tertangguh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara isunya yang dialami adalah 'mismatch' antara opsyen graduan yang keluar dengan opsyen yang kosong di sekolah.

"Sebab itu buat pertama kali dalam sejarah kita memperkenalkan pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran.

"Kemudian kita lihat pula setiap kursus itu untuk melihat berapa mata pelajaran yang dibuat dan daripada situ kita akan senaraikan.

"Katakan graduan fizik boleh mengajar fizik, matematik dan sebagainya, jadi melalui pendekatan ini kita akan dapat 'pool' yang lebih besar. Sebab itu pengambilan guru kita dapat selesaikan dengan lebih tinggi peratusan pengambilan dan jumlah pengambilan itu sendiri," katanya

Media sebelum ini, media melaporkan, KPM telah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:54 PM