GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Hari ini, bermulanya Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-11 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Perkataan Ilmi memberi pemahaman majlis itu bukan diadakan bagi tujuan berseronok, tetapi atas dasar ilmu.

Sepanjang empat tahun tempoh pengajian, mahasiswa bukan sahaja menimba ilmu di dalam kelas, tetapi keseluruhan hidup mereka di kampus adalah proses menuntut ilmu.

Ilmu yang dipelajari itu akan menempatkan kedudukan seseorang mahasiswa dalam masyarakat kelak.

Islam meletakkan golongan yang berada pada jalan ilmu di kedudukan yang amat istimewa.

Sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan, ganjaran yang bakal diterima orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu.

Kepayahan dirasai ketika menimba ilmu pengetahuan pasti tidak akan dipersiakan kerana Allah SWT menjanjikan kemudahan perjalanan untuk menuju ke syurga.

Mengenang susah payah ketika zaman belajar sudah pasti kejayaan menamatkan pengajian sesuatu yang sangat menggembirakan.

Mereka berhabisan wang untuk menampung pengajian. Bukan semua orang mampu membiayai pengajian sendiri.

Ada yang membuat pinjaman, malah ada ibu bapa terpaksa bergolok-gadai demi memastikan anak mereka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Mahasiswa juga terpaksa berjaga malam bagi  menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

Mereka menghabiskan masa muda dengan  membaca, mengkaji, menelaah, merujuk dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa melewatkan makan dan minum kerana perlu berkejar ke kelas selain menempuh jadual yang padat.

Semua keletihan itu pasti terubat sebaik sahaja menerima ijazah masing-masing. Namun ingatlah, usaha menuntut ilmu tidak terhenti selepas berakhirnya majlis konvokesyen.

Mungkin ada yang tidak merancang menyambung pengajian hingga ke peringkat seterusnya, tetapi perlu terus menimba ilmu.

Ilmu yang disediakan Allah SWT amat  luas. Tiada seorang manusia yang boleh menguasai keseluruhan ilmu Allah yang maha luas.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman, ayat 27)

Setiap insan perlu menyedari kepentingan mencari ilmu yang bermanfaat. Manusia hanya mengetahui sekelumit kecil daripada sekalian ilmu yang disediakan Allah SWT.

Oleh itu, usah  sesekali membiarkan sifat sombong, bangga diri, kedekut ilmu serta perasan diri  hebat menguasai diri.

Orang yang benar-benar berilmu akan sentiasa merendah diri dan berasa senang berkongsi pengetahuannya dengan orang lain yang memerlukan.

Manusia juga boleh mendapat pahala berterusan meskipun sudah meninggal dunia dengan ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

>>Penulis  pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:41 AM