GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini terus mencatatkan penurunan dengan 19,105 kes dilaporkan semalam berbanding 22,341 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes itu membabitkan 18,719 kes penularan tempatan dengan 386 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 10,645 kes atau 55.72 peratus, ia dikuti kategori satu (8,267), kategori tiga (81), kategori empat 44 kes dan 68 kes bagi kategori lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 193 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 58 kes (30.05 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 78 kes (40.41 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 57 kes (29.53 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 92 kes (47.67 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala 81 kes lagi (41.97 peratus) mempunyai komorbid.

Menurutnya, sebanyak 371 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 158 kes disahkan Covid-19 serta 213 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 203 kes iaitu 95 kes disahkan Covid-19 serta 108 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 28,250 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,684,665 kes," katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 3,993,124 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kluster baru dikesan dan 304 masih aktif.

"Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,912 kluster dan 6,608 kluster sudah tamat," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian katil di unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (66 peratus), Perlis (64 peratus), Kelantan (58 peratus) dan Selangor (56 peratus).

"Bagi katil bukan ICU, 11 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus didahului dengan Selangor (89 peratus), Putrajaya (78 peratus), Terengganu (77 peratus), Kuala Lumpur (76 peratus), Perlis (72 peratus), Perak (70 peratus), Melaka (70 peratus), Sarawak (56 peratus), Kelantan (55 peratus), Negeri Sembilan (55 peratus) dan Pahang (52 peratus).

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 203 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 23 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 10:42 AM