Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kes baharu jangkitan Covid-19 yang dicatatkan semalam menurun sedikit kepada 22,030 berbanding 22,535 yang direkodkan kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu menjadikan sebanyak 3,845,601 kes kumulatif setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 21,636 kes yang dicatatkan semalam membabitkan penularan tempatan iaitu seramai 20,894 warganegara (96.6 peratus) dan 742 lagi bukan warganegara (3.4 peratus).

"Kes import dari luar negara pula mencatatkan 394 kes iaitu 369 membabitkan warganegara (93.7 peratus) dan 25 bukan warganegara (6.3 peratus).

"Sebanyak 33,872 kes sembuh dilaporkan pada semalam dan menjadikan sebanyak 3,502,760 kes sembuh kumulatif atau 91.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan mengenai status terkini kes Covid-19 dalam negara.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 388 kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pada semalam dengan 169 kes disahkan Covid-19, 219 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Menurutnya, kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 215 kes (97 kes disahkan Covid-19, 118 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

"Berkenaan perincian kategori bagi kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada semalam adalah sebanyak 8,616 kes (39.11 peratus) bagi kategori satu, 13,188 kes (59.86 peratus) untuk kategori dua, 71 kes (0.32 peratus) membabitkan kategori tiga, manakala kategori empat mencatatkan 61 kes (0.28 peratus) dan 94 kes (0.43 peratus) untuk kategori lima.

"Daripada 226 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima itu, KKM mendapati 52 kes (23 peratus) membabitkan individu tidak divaksin atau belum lengkap divaksinasi, 111 kes (49.12 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, 63 kes (27.88 peratus) sudah menerima dos penggalak, 144 kes (63.72 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas serta 64 kes (28.32 peratus) mempunyai komorbid," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua kluster baharu juga dicatatkan menjadikan jumlah kluster Covid-19 sejak awal penularan di negara ini adalah 6,883 kluster.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan itu, sebanyak 6,506 kluster sudah tamat, manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 377 kluster.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 10:46 AM