DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan dua kaedah untuk memaklumkan tarikh janji temu kepada penerima dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemakluman tarikh janji temu akan dilakukan melalui pesanan ringkas (SMS) ke telefon pintar atau melalui aplikasi MySejahtera.

"Masyarakat diingatkan sentiasa cakna pemakluman di telefon masing-masing supaya tidak terlepas tarikh temujanji yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju untuk menerima dos penggalak atau sebaliknya.

"Sekiranya terlepas tarikh temujanji yang diberikan mereka disarankan menghadirkan ke pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 sudah diberikan.

KKM meluluskan pemberian dos penggalak Covid-19 sejak November lalu, dimulakan dengan kelompok tertentu yang menjadi keutamaan iaitu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan individu dengan keperluan ke luar negara.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu Covid-19 menurun dengan 3,900 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,097 kes, semalam.

Katanya, angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara mencapai 2,703,140 kes.

Beliau berkata, sebanyak 4,552 kes sembuh hari ini menjadikan 2,615,162 kes kumulatif atau 96.7 peratus.

"Daripada jumlah kes baharu dilaporkan, sebanyak 19 kes import direkodkan iaitu membabitkan 16 warganegara dan tiga bukan warganegara.

"Penularan kes tempatan pula adalah sebanyak 3,881 kes iaitu membabitkan 3,692 warganegara (95.1 peratus) dan 189 bukan warganegara (4.9 peratus).

"Sebanyak 384 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 304 kes disahkan Covid-19; 80 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 213 kes iaitu 142 kes disahkan Covid-19; 71 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

"Daripada 3,900 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 86 kes (2.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,814 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Menurutnya, sebanyak tujuh kluster baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,056 kluster.

"Daripada jumlah keseluruhan kluster itu, sebanyak 5,810 kluster sudah tamat manakala masih terdapat 246 kluster aktif dengan kebolehjangkitan.

Menurutnya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW di http://covidnow.moh.gov.my.

"Data harian laman Covidnow dikemaskini sekali gus selepas tengah malam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:12 PM