ZULKIFELI (tengah) ketika melawat gerai pameran pada Majlis Persmain Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). FOTO BERNAMA
ZULKIFELI (tengah) ketika melawat gerai pameran pada Majlis Persmain Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). FOTO BERNAMA
Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebanyak 7,651 kes penipuan dalam talian atau scam membabitkan nilai kerugian RM332 juta direkodkan dalam tempoh tiga bulan, sejak Januari hingga Mac lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Pusat Tindak balas Insiden Siber - Cyber999 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 1,555 insiden keselamatan siber dari laporan yang dibuat oleh pengguna Internet dalam tempoh yang sama.

Katanya, insiden yang dilaporkan meliputi pelbagai ancaman siber, dengan kes penipuan dalam talian kekal menjadi insiden tertinggi yang dilaporkan iaitu sebanyak 1,025 atau 66 peratus dari jumlah keseluruhan laporan.

"Scam ini menjadi satu ancaman, yang bukan sahaja memberi impak besar kepada negara dari aspek kerugian mencecah jutaan ringgit, tetapi turut memberi kesan kepada mangsa yang mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

"Justeru itu, kita mengambil inisiatif mengadakan siri Jelajah Anti-Scam Kebangsaan (JASK) bagi memperkasa dan meningkatkan kesedaran masyarakat menghadapi pelbagai ancaman penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Anti-scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Menurut Zulkifeli, JASK diteruskan bagi memperkasa orang ramai khususnya komuniti setempat dengan berkongsi dan memberi maklumat serta input yang jelas tentang penggunaan teknologi digital.

Katanya, trend ancaman siber masa kini juga dikongsikan.

"Dalam program dua hari ini, kita akan berkongsi maklumat penting berkaitan lanskap ancaman siber yang kian berubah, modus operandi terkini pelbagai jenis scam, tips pencegahan serta amalan terbaik bagi mengelak masyarakat dari menjadi mangsa jenayah.

"Masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa akibat terperdaya oleh pelbagai taktik licik scammer. Maka, program kesedaran ini perlu dipergiatkan secara konsisten supaya informasi dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Program JASK 2024 bermula di negeri ini diikuti Kedah (Jun) dan Perak (Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 5:19 PM