GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 terus meningkat dengan 6,243 kes dilaporkan hari ini, berbanding 5,403 kes, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,522,498 kes.

Beliau berkata, sebanyak 5,068 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan 2,430,122 kes kumulatif atau 96.34 peratus.

"Daripada 6,243 kes dilaporkan hari ini, 24 kes adalah kes import yang membabitkan 18 warganegara dan enam bukan warganegara.

"Kes penularan tempatan pula sebanyak 6,219 kes membabitkan 5,881 warganegara (94.6 peratus) dan 338 bukan warganegara (5.4 peratus)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 543 kes yang mana 504 kes disahkan Covid-19, 39 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham berkata, kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 279 kes iaitu 196 kes disahkan Covid-19, 83 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Daripada 6,243 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 106 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,137 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri kategori 1 dan 2.

"Selain itu, sebanyak tujuh kluster baharu dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 5,824 kluster.

"Jumlah kluster yang sudah tamat 5,524 kluster dan jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 300 kluster," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman sesawang covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 8:19 PM