GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 23,100 kes Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif setakat ini adalah 3,442,736 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 30,624 atau 90.5 peratus kes dilaporkan sembuh yang melebihi kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 3,116,564 kes.

"Daripada keseluruhan kes baharu, 298 adalah kes import membabitkan 262 warga negara (87.9 peratus) dan 36 bukan warga negara (12.1 peratus).

"Sebanyak 22,802 kes adalah penularan tempatan membabitkan 22,150 warga negara (97.1 peratus) dan 652 bukan warga negara (2.9 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 361 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 361 kes (133 kes disahkan Covid-19; 228 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Katanya, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula 193 kes (76 kes disahkan Covid-19; 117 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

"Pada 28 Februari 2022, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,555 kes.

"Daripada 1,555 kes ini, 592 kes (38.1 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 963 kes (61.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Memperincikan lagi kategori kes harian Covid-19 semalam, katanya, daripada 23,100 kes yang dilaporkan sebanyak 186 kes (0.81 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 22,914 kes (99.19 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Pecahan kategori kes adalah, Kategori 1: 8,304 kes (35.95 peratus); Kategori 2: 14,610 kes (63.24 peratus); Kategori 3: 96 kes (0.42 peratus); Kategori 4: 39 kes (0.17 peratus); dan Kategori 5: 51 kes (0.22 peratus).

"Daripada 186 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 28 Februari 2022, sebanyak 39 kes (20.97 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi," katanya.

Bagi pesakit kategori sama, katanya, 84 kes (45.16 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak; 63 kes (33.87 peratus) sudah menerima dos penggalak; 82 kes (44.09 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 84 kes (45.16 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes (1.08 peratus) kes adalah ibu mengandung.

Sementara itu beliau berkata, semalam sebanyak tiga kluster baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 sejak wabak itu melanda negara ini adalah 6,782 kluster.

"Daripada keseluruhan kluster itu, jumlah kluster yang sudah tamat adalah 6,302 kluster manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan adalah 480 kluster," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 11:10 AM