GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kes positif harian Covid-19 negara mencatatkan penurunan apabila 6,069 kes direkodkan semalam berbanding 7,140 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan 4,402,234 kes kumulatif dijangkiti virus berkenaan dengan kes sembuh dilaporkan ialah 10,619 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu 5,959 kes membabitkan penularan tempatan manakala 110 kes import lagi mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes baharu itu, jangkitan tertinggi membabitkan kategori dua iaitu 3,426 kes diikuti kategori satu (2,598 kes), kategori tiga ( 21 kes), kategori lima (14 kes) manakala 10 kes lagi dari kategori empat.

"Daripada 45 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima yang baharu dilaporkan semalam, sembilan kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 18 kes menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak, 18 kes menerima dos penggalak, 21 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 26 kes mempunyai komorbi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 241 kes dimasukkan ke hospital dengan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 97 kes (59 kes disahkan Covid-19, 38 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

"Tiada negeri menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau ICU, katil bukan ICU serta katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) melebihi 50 peratus.

"Kes memerlukan bantuan pernafasan pula semakin menurun kepada 64 kes (36 kes disahkan Covid-19, 28 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan) dengan peratusan penggunaan ventilator lapan peratus," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan lima kluster baharu semalam menjadikan 109 kluster masih aktif serta 6,995 kumulatif kluster.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:41 AM