GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 33,209 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,561,766 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 32,768 kes tempatan dengan 441 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada 33,209 kes harian, sebanyak 20,071 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori dua manakala 12,935 kes adalah pesakit kategori satu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selebihnya bagi kategori tiga terdapat 98 kes (0.30 peratus), kategori empat dengan 52 kes (0.15 peratus) serta bagi kategori lima adalah seramai 53 kes (0.16 peratus).

Katanya, seramai 348 kes memerlukan rawatan di ICU iaitu 138 kes disahkan Covid-19; 210 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan manakala 211 kes memerlukan bantuan pernafasan (80 kes disahkan Covid-19; 131 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

"Daripada jumlah keseluruhan 203 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 43 kes atau 21.18 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan manakala 117 kes sudah menerima dua suntikan vaksin tanpa dos penggalak.

"Sebanyak 43 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (119 kes), mempunyai komorbid (67 kes) dan ibu mengandung (satu kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:45 AM