GAMBAR hiasan. FOTO Aziah Azmee
GAMBAR hiasan. FOTO Aziah Azmee
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kes baharu jangkitan virus Covid-19 kembali turun kepada 3,856 selepas dua hari berturut-turut melepasi angka 4,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu hari ini menjadikan kes kumulatif di dalam negara adalah sebanyak 2,832,945.

Beliau berkata, penularan tempatan mencatatkan 3,364 kes yang membabitkan 3,236 warganegara (96.2 peratus) dan 128 bukan warganegara (3.8 peratus).

"Kes import pula adalah 492 kes iaitu membabitkan 378 warganegara dan 114 bukan warganegara.

"Sebanyak 2,814 kes dilaporkan sembuh hari ini menjadikan 2,755,933 kes kumulatif atau 97.3 peratus," katanya dalam kenyataan media berkenaan status terkini kes Covid-19 di Malaysia , hari ini.

Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 143 kes iaitu 121 kes disahkan Covid-19; 22 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Katanya, 53 kes memerlukan bantuan pernafasan, yang mana 43 kes disahkan Covid-19; 10 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

"Sebanyak 13 kluster baharu dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 6,306 sejak jangkitan bermula.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,071 kluster sudah tamat manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 235 kluster," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 3,856 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 35 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,821 kes (99.1 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:37 PM