ANTARA bukti penemuan kondom dan barangan lain di premis yang menawarkan khidmat seks.
ANTARA bukti penemuan kondom dan barangan lain di premis yang menawarkan khidmat seks.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Mendapat jolokan 'rumah cinta lampu disko' apabila pelanggan yang berkunjung boleh bermadu kasih di bilik khas disediakan dengan bayaran lebih RM200.

Itu antara kegiatan maksiat ditawarkan sebuah premis urutan tradisional di Kepong di sini, dengan menyediakan wanita warga asing sebagai teman ranjang.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar apabila sepasukan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu premis itu semalam.

Jurucakap DBKL berkata, risikan pihaknya mendapati premis rumah urut berkenaan menawarkan khidmat seks membabitkan bayaran ratusan ringgit.

LALUAN ke bilik khas yang dihiasi lampu berwarna-warni dibina sindiket pelacuran  diserbu pihak berkuasa di Kepong, semalam.
LALUAN ke bilik khas yang dihiasi lampu berwarna-warni dibina sindiket pelacuran diserbu pihak berkuasa di Kepong, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan jam 9 malam itu, pihak berkuasa menahan semua pekerja seks dan pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui barang bukti aktiviti maksiat antaranya paket kondom, invois pelanggan selain kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati premis itu menyediakan deretan bilik khas yang dilengkapi lampu berwarna warni, katil dan bilik air kecil untuk kemudahan pelanggan ketika melakukan maksiat," katanya.

Menurutnya, pihak DBKL kemudian bertindak memecahkan struktur dinding bilik dan sekatan serta menyita premis itu yang jelas menyalahi Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu dalam operasi berasingan, DBKL turut melaksanakan operasi tindakan khas terhadap sebuah premis menjalankan aktiviti pelacuran di Jalan Metro Perdana Timur, Kepong pada 20 Februari lalu.

Hasil risikan dijalankan DBKL selama seminggu mendapati premis berkenaan berselindung sebagai pusat rawatan kecantikan namun menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Ketika serbuan dilakukan, premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan pusat kecantikan.

ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di Kepong, semalam.
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di Kepong, semalam.

"Tiga wanita tukang urut disyaki pekerja seks warga Vietnam, seorang pelanggan warga Bangladesh dan seorang lelaki warga tempatan berperanan sebagai penjaga premis ditahan.

"Pihak DBKL turut merampas CCTV, kondom, minyak pelincir dan pelbagai peralatan di premis itu. Susulan itu tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan memberikan notis kompaun mengikut UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan premis itu diarah ditutup serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Menurutnya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan tidak berlesen dan menjalankan aktiviti tidak bermoral akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh DBKL.

"Warga kota boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aduan di https://adukl.dbkl.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 6:30 AM