ANTARA wanita warga asing yang ditahan selepas dijadikan pelacur di hotel-hotel sekitar ibu kota. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
ANTARA wanita warga asing yang ditahan selepas dijadikan pelacur di hotel-hotel sekitar ibu kota. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bukan usaha tarik pelancong sebaliknya tawarkan pelacur asing. Itu antara aktiviti terkini segelintir pemilik hotel di ibu kota yang bersekongkol dengan sindiket pelacuran bagi meraih pendapatan mudah.

Kebanyakan 'hotel ayam' ini dikesan mengubah modus operandi selepas mendapati kurangnya pelanggan menginap di hotel masing-masing dipercayai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Salah seorang penyelia khidmat pelanggan sebuah hotel di Bukit Bintang yang hanya mahu dikenali sebagai Fadhil, 37, berkata, perbuatan mengubah hotel menjadi pusat pelacuran dilakukan oleh segelintir pengusaha hotel budget atau hotel di bawah tiga bintang yang terdesak meneruskan perniagaan.

Menurutnya, kurangnya kehadiran pelancong dalam dan luar negara termasuk pelancong backpacker menyebabkan mereka mencari alternatif untuk menampung kos operasi hotel masing-masing.

"Kesempitan ini diambil peluang oleh sindiket pelacuran yang sanggup menyewa semua bilik hotel mereka untuk menempatkan pelacur warga asing.

"Pastinya pemilik hotel ini gembira kerana mampu memperoleh pendapatan apatah lagi sindiket membayar sewa bilik untuk tempoh jangka masa lama. Ada yang menyewakan semua bilik atau 70 peratus dari kapasiti jumlah keseluruhan bilik hotel," katanya.

Menurutnya, kakitangan yang bertugas di front desk dan housekeeping (pembersihan) diarah 'tutup mata' dengan kegiatan itu.

"Individu yang melanggan pelacur akan keluar masuk dari hotel dan hanya berurusan melalui tempahan di media sosial. Tidak perlu ambil kunci bilik di lobi hotel dan semuanya diatur 'kapten' (bapa ayam)," katanya.

BUKTI bilik hotel di Cheras dan Setapak yang dijadikan ‘bilik maksiat’ melayan pelanggan. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
BUKTI bilik hotel di Cheras dan Setapak yang dijadikan ‘bilik maksiat’ melayan pelanggan. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Kegiatan haram ini mula dibongkar susulan tindakan agresif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur hotel sekitar ibu kota yang menjadi sarang aktiviti pelacuran setiap minggu sejak dua bulan lalu.

Terbaru kelmarin, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) mempergiatkan lagi operasi tindakan khas terhadap hotel yang menawarkan aktiviti pelacuran di Taman Danau Kota, Setapak di sini.

Unit Media DBKL berkata, melalui maklumat dan aduan awam diterima, pihaknya mengesan aktiviti pelacuran dijalankan di premis hotel tiga tingkat itu membabitkan penggunaan 15 bilik yang dijadikan lokasi urut dan aktiviti seks.

"Walaupun hotel ini mempunyai lesen sah beroperasi dari DBKL namun ia menyalahgunakannya untuk tujuan maksiat.

"Hasil serbuan itu menemui seramai lapan wanita warga Indonesia bekerja sebagai tukang urut selain disyaki menawarkan khidmat seks.

"Seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai penjaga turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL," katanya.

SEBAHAGIAN wanita warga asing yang diberkas dalam serbuan DBKL. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang diberkas dalam serbuan DBKL. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Dalam satu lagi serbuan berasingan, anggota JPK turut menyerbu sebuah hotel di Cheras di sini, petang Selasa lalu.

"DBKL membuat risikan awal dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam premis hotel tiga tingkat mempunyai 19 bilik yang dijadikan tempat urut serta aktiviti seks.

"Hasil semakan mendapati premis itu mempunyai lesen sah beroperasi daripada DBKL namun menyalahgunakannya," katanya.

Menurutnya. seramai enam wanita warga Vietnam bekerja sebagai tukang urut dan pekerja seks ditahan.

Katanya, seorang warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL.

Pada 5 Mac lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan DBKL menyerbu hotel dan rumah urut di Jalan Metro Perdana Barat, Kepong dan Jalan Pudu Ulu, Cheras sebelum menahan 29 pelacur warga asing.

"Notis pemberitahuan berhubung kesalahan mengikut Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 dikeluarkan dan tindakan sita diambil ke atas 50 peralatan premis termasuk kondom dan minyak pelincir.

"Tindakan ini dilakukan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003 mengikut bidang kuasa serta prosedur operasi standard DBKL," katanya.

Menurutnya operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa dan orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat menerusi http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.

ANGGOTA DBKL menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan dalam operasi. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
ANGGOTA DBKL menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan dalam operasi. FOTO Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 8:02 AM