ANTARA rampasan barangan mempunyai hubung kait dengan kegiatan maksiat di salah sebuah premis.
ANTARA rampasan barangan mempunyai hubung kait dengan kegiatan maksiat di salah sebuah premis.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Masih ada sindiket yang menawarkan khidmat urutan berahi dan khidmat seks secara `curi-curi' buka premis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 3.0 ini.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kegiatan maksiat itu berjaya dibongkar susulan pemeriksaan dilakukan pasukan khas Jabatan Penguatkuasaan (JPK) DBKL menerusi Tindakan Ops Patuh Terhadap Premis Perniagaan Komersial di 11 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Menurutnya, operasi pemeriksaan dilakukan membabitkan 434 premis bermula 16 Julai lalu sehingga semalam.

"Melalui Ops Patuh DBKL kali ini, pemeriksaan membabitkan aktiviti perhotelan, pusat urut, perniagaan restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi semasa dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Hasilnya DBKL mengesan tiga premis yang membuka premis dan menjalankan kegiatan maksiat dan pelacuran.

"Aktiviti tidak bermoral termasuk urutan seks ini dibuktikan susulan penemuan pelbagai barangan seperti kondom, minyak pelincir dan pelbagai alatan lain ketika serbuan dilakukan," katanya.

ANGGOTA DBKL menyita premis yang dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.
ANGGOTA DBKL menyita premis yang dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Susulan itu tindakan penutupan premis dilakukan mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Sebanyak 10 notis kompaun turut dikeluarkan mengikut Akta 342 atas pelbagai kesalahan terhadap pemilik premis atau syarikat yang ingkar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Turut diambil tindakan sita adalah terhadap penjaja warganegara asing di sekitar ibu kota," katanya.

Menurutnya, Ops Patuh DBKL ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikuatkuasakan.

"Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Warga kota digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat dan aduan terus kepada pihak DBKL melalui http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 12:09 PM