SENJATA api dan peluru yang dirampas.
SENJATA api dan peluru yang dirampas.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Digendong ke hulu hilir seolah-olah senapang gergaji 'DIY - do-it-yourself' dimiliki adalah senjata mainan walhal ia disumbat peluru hidup untuk meletuskan tembakan membunuh.

Itu antara kegusaran memuncak apabila kian ramai pemburu haram di Semenanjung Malaysia mula dikesan cenderung memiliki dan menyimpan laras senapang patah buatan sendiri.

Kebimbangan itu berasas apabila pihak Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) semakin kerap merampas senapang DIY dari golongan pemburu warga tempatan yang memiliki senjata itu menembak haiwan sasaran.

Difahamkan kemahiran menghasilkan senjata api digelar bakakuk atau ginsuk di Borneo kini turut dimiliki warga tempatan selepas mendalami ilmu penghasilannya melalui rujukan media sosial.

Terbaru tiga lelaki diberkas selepas dikesan memiliki selaras senapang bersama 23 butir peluru hidup.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi dilakukan sepasukan anggotanya di sebuah pondok rumah pokok dalam Hutan Simpan Bukit Belata Tambahan, Hulu Selangor pada Rabu lalu.

Beliau berkata, dalam operasi jam 3.20 petang itu, pihak Perhilitan menyita selaras senjata api, 23 peluru hidup, satu tali pinggang peluru, parang dan kapak.

INFOGRAFIK.
INFOGRAFIK.

"Turut ditemui adalah bahagian hidupan liar disyaki kijang selain perut hidupan itu. Semua individu berusia 60-an yang diberkas kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, sepasukan anggota Perhilitan dan pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Utara turut berjaya merampas selaras senjata api buatan sendiri pada Ahad lalu.

"Operasi dilakukan di kawasan Jalan balak Kledang - Saiong, Perak sebelum pasukan terbabit terserempak seorang lelaki menunggang motosikal.

"Suspek bagaimanapun mencampakkan guni sebelum berjaya melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada guni itu menemui satu laras senjata api buatan sendiri selain satu tanduk haiwan liar.

"Operasi sama turut dilakukan di Felda Mempaga 3, Bentong, Pahang apabila seramai 12 anggota dan pegawai Penguatkuasa Perhilitan dibantu anggota PGA menyerbu kediaman disyaki menjalankan aktiviti memburu hidupan liar.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan empat individu warga tempatan berusia 30-an di kediaman itu.

"Turut ditemui dua laras senapang angin, satu laras senjata api buatan sendiri selain 42 peluru penabur," katanya.

Kadir berkata, semua suspek dipercayai pemburu aktif susulan penemuan tanduk rusa, jerat, daging hidupan liar dan ayam hutan.

Menurutnya, semua kes itu disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Selain itu individu yang memiliki senjata api haram dan berdepan hukuman di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan," katanya.

Penggunaan bakakuk ancam haiwan liar dilindungi

Penularan senjata api popular Borneo membabitkan senapang bakakuk bagi tujuan kegiatan memburu binatang secara haram di Semenanjung Malaysia boleh menjadi ancaman kepupusan haiwan liar dilindungi.

Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu dan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Tajuddin Abdullah berkata, berdasarkan pengalamannya, senjata api buatan sendiri itu pernah dijual di Kelantan semurah RM60 hingga RM100 selaras satu ketika dahulu.

Menurutnya, senjata api ini sememangnya digunakan untuk aktiviti memburu haiwan liar di hutan oleh golongan pemburu haram.

"Walaupun penggunaan bakakuk atau senjata api buatan sendiri ini dilarang namun ia masih digunakan penduduk luar bandar untuk memburu.

"Asalnya ia popular sekitar 80-an digunakan untuk menjaga tanaman daripada serangan binatang liar namun kegunaannya kerap disalah guna.

"Buktinya berpuluh kes mangsa dalam kalangan manusia mati akibat ditembak senjata api ini. Ia bukan mainan, tetapi boleh meragut nyawa terutama jika dikendalikan individu yang tiada asas berkaitan senjata api," katanya.

Pada 25 Januari lalu, seorang lelaki berusia 30-an diberkas polis di Felda Serting, Jempol, Negeri Sembilan selepas dikesan memiliki dua laras senapang buatan sendiri.

Suspek mendakwa belajar membuat senapang angin itu dari YouTube menggunakan barangan terpakai seperti batang besi, pam racun, kayu dan pam tayar.

Dia turut menggunakan bebola besi sebagai peluru.

Dalam satu lagi kes berasingan, dua lelaki diberkas pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama penguatkuasa Jabatan Perhutanan Johor dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi Johor di Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi, Johor, pada jam 11 malam kelmarin.

Difahamkan pihak berkuasa bertindak menggeledah rumah kongsi di kawasan itu yang disyaki turut menjalankan aktiviti pemburuan haram.

Seorang lelaki tempatan berusia 40-an serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an ditahan sebelum pihak berkuasa menemui selaras senjata api Bakakuk buatan sendiri selain lapan butir peluru hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 12:00 PM