Shaarani Ismail


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki dua senjata api, dua kelopak peluru M-16-A1 serta 209 peluru hidup pelbagai jenis pada 11 Mac lalu.

Abu Shahriman Othman, 45, yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pemburuan haram, dituduh memiliki senjata dan peluru berkenaan di rumah di Kampung Padang Jeri dekat Gerik.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1975 kerana memiliki selaras M-16-A1 berserta dua kelopak peluru.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan disebat dengan maksimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a), Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang patah berwarna coklat gelap.

Dia turut dituduh mengikut seksyen sama kerana memiliki 209 peluru hidup pelbagai jenis yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau didenda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Hasyutantaee turut memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu adalah kes yang membabitkan kepentingan awam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon supaya jaminan diberikan kerana dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan ayah yang sedang uzur.

Rohaida kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

NSTP sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 20 ekor gajah di hutan sekitar daerah ini dipercayai sudah dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki, sejak sembilan tahun lalu.

Empat suspek ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula 10 hingga 12 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dalam sidang medianya pada 13 Mac lalu berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sudah memperoleh hasil cukup lumayan sepanjang sembilan tahun menjalankan kegiatan pemburuan haram ini dan sehingga kini anggaran hasil diperoleh mereka mencecah RM800,000.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka.

Berita berkaitan

Empat lelaki ditahan, senapang dirampas

[UPDATE] Pemburu bunuh 20 gajah

[UPDATE] PERHILITAN waspada tangani pemburu haram

[UPDATE] Pemburu haram didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 1:32 PM
ABU Shahriman Othman, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini selepas dihadapkan atas tiga pertuduhan memiliki dua senjata api, dua kelopak peluru M-16-A1 serta 209 peluru hidup pelbagai jenis pada 11 Mac lalu. FOTO Muhaizan Yahya
ABU Shahriman Othman, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini selepas dihadapkan atas tiga pertuduhan memiliki dua senjata api, dua kelopak peluru M-16-A1 serta 209 peluru hidup pelbagai jenis pada 11 Mac lalu. FOTO Muhaizan Yahya