Zhen Jie dan Vivian Lau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan warga asing berusia sembilan bulan pada bulan lalu. FOTO OMAR AHMAD
Zhen Jie dan Vivian Lau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan warga asing berusia sembilan bulan pada bulan lalu. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengabaikan anak asuhannya iaitu bayi perempuan berusia sembilan bulan hingga cedera di kepala dan membawa kepada kematian, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Zhen Jie, 31 dan Vivian Lau, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rasidah Roslee selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa mandarin.

Mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi perempuan yang juga anak wanita warga Vietnam didakwa mengabaikan bayi itu hingga menyebabkan cedera di kepala.

Perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kejayaan, Taman Universiti Skudai di sini antara 19 Mac hingga 25 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya, manakala kedua tertuduh diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir.

Tertuduh masing-masing diberi jaminan sebanyak RM8,000 dengan seoarang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Jun.

Media sebelum ini melaporkan bayi malang itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 3.50 pagi, 29 April lalu.

Polis menerima laporan kematian daripada pegawai perubatan HSA yang memaklumkan bayi itu meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan disyaki didera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 1:10 PM