Zaid Salim

Kuala Nerus: Perbezaan agama tidak menghalang keluarga mualaf untuk meraikan 'makan besar' bersama adik-beradiknya pada sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Sambutan dalam suasana norma baharu menjadi lebih unik apabila majlis tradisi masyarakat Cina itu diraikan menerusi panggilan video berikutan tujuh adik-beradiknya tinggal berjauhan termasuk berada di luar negara.

"Saya ada tujuh beradik dan semua adik-beradik saya tinggal berjauhan iaitu dua di Kajang, Selangor; tiga di London, England dan seorang di Filipina," kata Datin Norhana Ng Abdullah, 62, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit di sini, hari ini.

Norhana yang juga Pengerusi Persatuan Darul Fitrah dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Terengganu berkata, walaupun sudah 37 tahun memeluk Islam, hubungannya dengan keluarga tidak pernah putus dan masing-masing sentiasa berhubung walaupun jauh beribu batu.

NORHANA (dua kiri) keluarga mualaf meraikan majlis makan besar dalam suasana norma baharu menjadi lebih unik apabila majlis tradisi masyarakat Cina itu diraikan menerusi panggilan video berikutan tujuh adik beradiknya tinggal berjauhan termasuk luar negara ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam. FOTO Ghazali Kori
NORHANA (dua kiri) keluarga mualaf meraikan majlis makan besar dalam suasana norma baharu menjadi lebih unik apabila majlis tradisi masyarakat Cina itu diraikan menerusi panggilan video berikutan tujuh adik beradiknya tinggal berjauhan termasuk luar negara ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam. FOTO Ghazali Kori

"Setiap tahun, kami akan meraikan majlis makan besar bersama sama ada di rumah adik yang tinggal di Kajang, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kita melakukan rentas negeri, kita terpaksa meraikannya menerusi panggilan video.

"Tahun lepas kami berkumpul menyambut Tahun Baru Cina di London. Sambutan perayaan apa-apa agama pun sama sahaja dan kesedihan akan terasa apabila tidak dapat bersama dengan orang-orang yang kita sayang," katanya.

Kemeriahan majlis berkenaan turut dikongsikan tiga anaknya, Noraishah Mohamed Anuar, 27; Nur Dini, 25, dan Muhamad Faiz, 23, serta menantu, Muhamad Faris Hadi Zulkiflee, 27.

Menurutnya, sambutan perayaan menerusi panggilan video itu adalah pertama kali dilakukannya dan walaupun diraikan secara alam maya, kegembiraan mereka jelas terpancar.

Beliau berkata, adik-beradiknya ada yang menganut Kristian dan Buddha dan setiap kali perayaan, mereka akan meraikannya bersama.

"Kami juga pernah merayakan Aidilfitri bersama-sama di sini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:54 PM