CHE Ta sekeluarga beraya di Alor Setar, Kedah.
CHE Ta sekeluarga beraya di Alor Setar, Kedah.
Sudirman Mohd Tahir


KALAU tak beraya sakan bukan Che Ta namanya. Itu yang sering digambarkan peminat terhadap pelakon popular Rozita Che Wan setiap kali menyambut Aidilfitri.

Bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, Rozita, 49, berkata, dia sudah membuat persiapan lebih awal sama seperti tahun sebelumnya selain buat pertama kali menyambut 1 Syawal di kampung halaman di Alor Setar, Kedah.

"Tema raya tahun ini 'glam all out'. Persiapan seperti biasa dah siap awal lagi. Berapa pasang baju raya tu tak nak cakap. Apa boleh dicakap, baju Melayu suami saya dah siap pasang butang, susun kasut yang nak dipakai termasuk 'hair band' Aaisyah.

"Apa yang istimewa juga raya tahun ini apabila buat pertama kali beraya di Alor Setar, Kedah selepas sembilan tahun berkahwin dengan Zain. Kalau tahun sebelum ini raya pertama di Kuala Lumpur dan raya kedua baru pulang ke sana.

"Sebab tahun ini mak mentua cakap dia macam tak larat sangat nak menyambut raya, jadi dia suruh kami balik beraya di Alor Setar," katanya.

Lebih mengujakan Che Ta juga isteri kepada pelakon Zain Saidin adalah raya tahun ini juga semua adik-beradiknya pulang beraya dan mereka dapat berkumpul di kampung bersama-sama.

"Kiranya tahun ini tak raya langsung di Kuala Lumpur. Saya, Zain dan Aaisyah balik beberapa hari sebelum raya. Dua anak lelaki balik menaiki penerbangan. Selepas seminggu raya sampai habis cuti sekolah baru balik sini. Kira cuti raya saya dalam 10 hari juga.

"Lagi pula tahun ini memang kebetulan giliran semua adik-beradik balik beraya di Alor Setar. Seronok dan meriah dibuatnya. Macam adik-beradik lain mereka berkahwin dengan orang Kedah, jadi memang setiap tahun akan balik Kedah. Cuma saya dan Ayu Raudhah saja tak.

"Tapi, tahun ini giliran Ayu balik Alor Setar. Memang meriah. Saya ada tujuh beradik, campur suami dah 14 orang. Anak-anak pula kalau campur semua ada dalam 30 orang. Bayangkan nak dekat 50 orang satu rumah," katanya.

Begitu pun, Che Ta berkata, dia sebolehnya mahu menjaga kesejahteraan dan keselamatan semua memandangkan wabak Covid-19 belum pulih.

"Selalu kalau hari raya kedua balik kampung, mak memang sudah tunggu nak pergi beraya ke rumah saudara-mara di Tunjang, Kodiang, Pulau Timbul dan banyak lagi di Kedah. Jadi, macam tahun ini, saya cakap pada mak tak perlu ke mana-mana sebab takut ada kluster raya pula.

CHE Ta cuti raya 10 hari.
CHE Ta cuti raya 10 hari.

"Lagipun saya ada penggambaran selepas raya, takut kena Covid-19 lagi. Tapi, kalau orang nak datang beraya di rumah nak buat macam mana.

"Selalu aktiviti raya saya memang begitu. Kalau di Kuala Lumpur, pagi lagi Zain suruh siap sebab nak pergi berziarah ke rumah saudara-mara sebelah dia. Dari rumah mak mentua, tok dan segala keluarga, sampai jam 2 ke 3 pagi baru balik. Suami ajak beraya, jadi kena ikut. Kalau ikutkan saya nak duduk rumah saja. Bagi saya, kalau ikutkan raya itu pakai cantik-cantik, menjamu juadah, lepak di rumah dan borak," katanya.

Menurut Che Ta, selain juadah khas yang perlu ada sepanjang hari raya, dia juga wajib makan nasi. Tidak lengkap hari raya Che Ta tanpa adanya nasi.

"Kalau makanan, di rumah saya mesti ada ketupat palas dan cicah susu serta nasi tomato masakan mak. Walaupun kami sudah besar, tapi tetap nak air tangan mak. Lagi satu, saya kalau pergi beraya rumah orang mesti cari nasi dulu. Saya mudah lapar kalau tak makan nasi. Tapi, ada juga jenis tak hidangkan nasi. Jadi, nasiblah.

"Untuk kuih pula, saya lebih gemar kuih makmur, semprit dan tart yang gebu. Itu saja yang saya makan. Kuih moden lain dan yang keras saya tidak berapa sangat," katanya.

Berkongsi mengenai nostalgia menyambut Aidilfitri pula, Che Ta berkata, dia rindukan suasana bersama adik-beradik sebelum semuanya berkahwin.

"Bercakap soal nostalgia raya, ini kali kedua saya beraya tanpa nenek yang sudah meninggal dunia. Dia duduk dengan saya dan kami rapat. Setiap kali raya memang belikan lapan ke sembilan pasang baju raya untuk dia. Sampai dia cakap tak perlu beli banyak sebab tak pakai. Tapi, dia mesti pakai juga.

"Selain itu, saya rindu kenangan beraya dengan adik-beradik sebelum semuanya kahwin, itu yang paling 'best' dalam dunia. Apabila sudah kahwin, ada yang tak balik kampung, ada suami tak bagi duduk lama. Jadi, kalau balik kampung, tak dapat nak luangkan masa bersama dengan lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:12 AM