HARI raya mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.
HARI raya mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.
Intan Mas Ayu Shahimi

Ramadan semakin hampir ke penghujungnya. Selepas sebulan berpuasa, membendung nafsu, memantapkan iman dan takwa, mendidik rohani serta emosi maka datanglah 1 Syawal sebagai hadiah Allah SWT kepada kita untuk bergembira.

Tanyalah kepada sesiapa saja, Aidilfitri pasti tergambar indah sebagai hari kesyukuran yang memberi makna cukup mendalam buat setiap umat Islam. Inilah waktunya untuk kita meraikan kemenangan dengan semangat ukhuwah tanpa mengira pangkat dan darjat.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan menanti hadirnya 1 Syawal, pasti ada yang masih memendam rasa, berkira-kira sama ada mahu pulang ke kampung menjenguk keluarga dan saudara atau terus-menerus sepi, menjauhkan diri.

Bagaikan wabak dalam masyarakat, hari ini, semakin ramai anak berselisih faham dengan ibu bapa, adik-beradik bertelagah, suami isteri berantakan. Mereka ini pada luarannya dilihat cekal menjalani ibadah puasa, tetapi sebenarnya masih gagal mendidik hati dan jiwa.

Pakar keluarga dan kasih sayang, Dr Rozieta Shaary berkata, Aidilfitri adalah kesempatan terbaik untuk seluruh ahli keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan, khususnya mereka yang pernah terguris atau melukai satu sama.

“Masyarakat kita selalu meletakkan hari tertentu untuk meraikan perkara baik termasuk bermaafan. Walhal kita mempunyai banyak masa untuk memaafkan, bermesra, mengukuhkan ukhuwah, sekali gus memelihara hubungan kekeluargaan.

“Bayangkan, selepas sebulan mendidik jiwa, mental dan emosi sepanjang berpuasa, Allah SWT berikan ruang untuk kita meraikan kemenangan. Bagaimana agaknya hari mulia ini diterjemahkan anak yang menyimpan rasa kecil hati dengan ibu bapa, adik-beradik dan pasangan tercinta?

“Dapatkah mereka melawan nafsu dendam dan mendahulukan kasih sayang ibu bapa serta keluarga berbanding mencongak kesilapan lama? Begitu juga halnya dengan ibu bapa. Adakah mereka mampu mensyukuri nikmat memiliki zuriat dan mengetepikan rasa kecewa dan marah pada anak? Isteri atau suami pula, adalah mereka dapat berlapang dada, menghargai pengorbanan pasangan masing-masing?

“Sama ada kita suka atau tidak, Aidilfitri inilah waktu sesuai untuk kita kembali mengukuhkan pertalian keluarga, membina hubungan mesra serta bermaaf-ma­afan. Ini mungkin realiti yang sukar diterima sesetengah orang, namun lebaran tidak pernah gagal membuka ruang untuk kita membina persaudaraan,” katanya.

DR Rozieta.
DR Rozieta.

Mengambil contoh masyarakat hari ini, Dr Rozieta berkata, sengketa panjang lazimnya berlaku rentetan perbalahan besar atau perkelahian mengenai perkara berat.

“Jadi, apabila tibanya hari raya, eloklah kita bertanya semula kepada diri, sama ada mahu terus berantakan atau melangkaui masa lalu. Memaafkan ini tidak bermakna kita bersetuju dengan kesilapan lalu. Maaf adalah maaf. Sebagai manusia, kita perlu untuk sentiasa bersikap terbuka dan saling memaafi untuk membina pertalian yang lebih kukuh,” katanya.

Baiki hati

Melihat persekitaran kini, alangkah ruginya jika terlepas meraikan hari mulia bersama keluarga tercinta hanya kerana sengketa lama yang mungkin timbul daripada perkara remeh. Ketika umat Islam seluruh dunia bergembira, tidak manis andai kita mengasing­kan diri hanya kerana ego yang tidak bertepi.

“Tidak kira sebesar mana pertelingkahan wujud dalam perhubungan, saya yakin semuanya mampu dibaiki dengan hati suci bersih.

“Mungkin jawapan ini agak klise pada sesetengah orang. Namun, suka atau tidak, saya percaya segalanya berkait dengan hati. Usah terlalu fokus kepada kesilapan orang lain. Cuba sesekali melapangkan hati dan fahami mengapa kita perlu bermaafan.

“Sentiasa ingat, meminta maaf tidak bermakna kita setuju dengan kesilapan dulu. Maaf ini perlu supaya kita tidak terus hanyut dalam kehidupan penuh dendam, terutamanya terhadap ibu bapa, anak sendiri, adik-beradik, saudara atau teman.

“Teruskan hidup dan tinggalkan rasa geram dan marah jauh-jauh. Ketahui andai sikap ini dibawa keluar, tidak mustahil ia akan membusuk. Jadi, lebih baik kita bermuhasabah diri, bermaafan dan meneruskan hidup dalam suasana aman harmoni,” katanya.

Berkongsi pendekatan diamalkan sebagai ibu, Dr Rozieta berkata, dia dan anak tidak perlu menunggu hari raya untuk saling bermaafan jika salah satu pihak melakukan kesilapan.

CURI kesempatan pulang beraya walaupun sekejap.
CURI kesempatan pulang beraya walaupun sekejap.

“Sejujurnya, saya juga tidak pernah menunggu anak datang untuk meminta maaf atas keterlanjuran mereka. Sebagai ibu bapa, jangan sesekali menurutkan perasaan ego terhadap anak hingga menunggu dia tampil meminta maaf.

“Kalau anak kita salah, bersemukalah terus dengannya. Jika perlu dipujuk, cakap secara baik. Andai perlu berbincang, lakukan secara rasional. Sentiasa tunjukkan kasih sayang kepada anak. Begitu juga halnya jika anak berdepan ibu bapa. Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, hubungan kekeluargaan akan terus harmoni dan sengketa tidak berpanjangan untuk tempoh lama.

“Jangan lupa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu, terutama anak lelaki. Untuk anak perempuan, sekalipun mereka sudah berkahwin, tidak bermakna hati ibu tidak perlu dijaga lagi.

“Bagi adik-beradik, tidak ada syarat yang menyebut siapa dulu yang patut mula (memohon maaf). Rebutlah peluang untuk sentiasa menjadi orang yang pertama membetulkan keadaan. Tidak perlu menunggu adik, abang atau kakak datang bermaafan,” katanya.

Fahami ragam menantu-mentua

Selain hubungan ibu bapa dengan anak serta adik-beradik, perselisihan kecil antara menantu dengan mentua juga kerap menjadi kudis dalam keluarga.

Kata Dr Rozieta, hakikat dunia tidak pernah berubah walau seinci dalam membicarakan hubungan antara mentua dengan menantu. Ada yang bertuah kerana diberi limpahan kasih-sayang tidak bertepi, namun ada juga yang berantakan kerana ego yang sukar ditundukkan.

“Kita perlu faham mentua ini selalunya mempunyai ego sendiri. Ada yang mudah tergugat dengan kehadiran menantu, ada yang terluka kerana berasakan tempatnya digantikan wanita lain, tidak kurang juga yang terus merasa kehilangan.

“Sebagai menantu, rebutlah peluang ini untuk menjadi seorang yang matang, bijaksana dalam menilai serta sentiasa bersikap rendah hati. Minta maaf dengan mentua walaupun kesilapan itu bukan bermula dari diri sendiri.

“Usah bersikap keterlaluan pada ibu yang melahirkan pasangan kita, sebaliknya belajar ambil hati mereka. Jika mentua berkeras dan membebel, dengarkan saja. Boleh jadi dia sekadar hendak melepaskan perasaan yang terbuku di jiwa,” katanya.

KEPULANGAN anak cucu pasti dinanti saban Aidilfitri.
KEPULANGAN anak cucu pasti dinanti saban Aidilfitri.

Jelas beliau, ada banyak sebab mengapa setiap orang perlu berkenalan dengan seluruh keluarga pasangan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Selalu saya ingatkan kepada wanita khususnya, lihat dulu keluarga bakal suami. Jangan kita pasangan atas dasar cinta atau suka sama suka semata-mata kerana perkahwinan bukan menyatukan dua jiwa saja, sebaliknya seluruh ahli keluarga.

“Jika sudah tahu sikap bakal mentua, bersedialah dengan kemungkinan yang mendatang. Sekiranya mentua jenis garang atau bertentangan sifat dengan ibu sendiri, bersangka baiklah selalu. Memandangkan kita sudah mengambil anaknya, jadi belajarlah untuk turut mengambil hati mentua seikhlasnya terutama ketika hari raya,” katanya.

Raikan ibu bapa di Aidilfitri

Lebaran ini, Dr Rozieta mengajak mereka yang masih memendam sengketa lama untuk sama-sama meninggalkan yang keruh dan kembali ke pangkuan keluarga dengan rasa insaf serta syukur. Katanya, biar sedalam mana pun luka perasaan akibat sengketa lalu, ia takkan sembuh tanpa sulaman kasih, pelukan sayang dan kemaafan dari insan tercinta.

“Kita tidak tahu bila waktunya diri atau ahli keluarga pergi mengadap Ilahi. Mungkin ini raya terakhir untuk kita bersama ibu bapa dan adik-beradik di kampung. Jadi, pujuk-pujuklah hati untuk bermaafan.

“Kadang kala, dalam hubungan saudara, kita mungkin tidak suka dengan apa yang abang, kakak atau adik lakukan, tetapi maafkanlah saja. Belajar menerima kelemahan orang lain dan bermaaf-maafanlah pada lebaran ini.

“Jihad kita adalah untuk mengatasi rasa susah. Maafkanlah orang di sekeliling kerana Allah SWT, bukan kerana sebab lain. Itulah yang akan membantu kita tenang sekali gus menyatukan kembali semangat kekeluargaan pada Aidilfitri ini,” katanya.

SAMBUTAN 1 Syawal pastinya meriah jika semua dapat berkumpul bersama.
SAMBUTAN 1 Syawal pastinya meriah jika semua dapat berkumpul bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:58 PM