DR Siti Hajar bersama suami, anak dan ibu bapa mentuanya.
DR Siti Hajar bersama suami, anak dan ibu bapa mentuanya.
Redzuan Muharam

Petaling Jaya: Bagi pasangan pengamal perubatan ini, perkahwinan campur antara etnik mengaburi perbezaan garis antara kaum di negara ini dan adalah punca kepada penerimaan perbezaan antara rakyat sejak tanah air ini mengecapi kemerdekaan.

Dr Siti Hajar Md Hanif, 36, mengakui cukup bertuah sejak berkahwin dengan suaminya, Iskandar Chai Yoong Sang, 32, sejak tujuh tahun lalu kerana dapat belajar menerima perbezaan itu dan mengenal erti perpaduan.

Beliau juga menyifatkan perkahwinan campur dengan Iskandar yang berdarah kacukan Cina-India (Chindian) memberi kelebihan kepadanya mempelajari serta mengenali adat dan budaya bangsa lain selain mepupuk dirinya menjadi orang yang positif.

"Setiap tahun, saya akan berkumpul bersama keluarga suami untuk makan besar meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, jadi dapatlah saya merasa masakan seperti ikan masak taucu, udang masak kam heong dan yong tau foo di samping cuba belajar bahasa Hakka serta Tamil yang menjadi bahasa utama digunakan oleh keluarga suami.

SUAMI Dr Siti Hajar tidak kekok mengenakan baju Melayu ketika menyambut hari raya.
SUAMI Dr Siti Hajar tidak kekok mengenakan baju Melayu ketika menyambut hari raya.

"Selain itu, saya cuba belajar terima budaya Cina seperti penggunaan chopstick di rumah, hiasan tanglung ketika Tahun Baharu Cina juga budaya India seperti memakai baju Punjabi ketika perayaan Deepavali.

"Bagi suami pula, pengalaman barunya adalah bersahur, berpuasa, sambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga saya, pergi ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih dan solat sunat hari raya memakai baju Melayu lengkap dengan sampin. Semua ini pengalaman yang cukup hebat buat kami berdua," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai rumah tangganya, Dr Siti Hajar yang bertugas di sebuah hospital di ibu kota berkata, tiada perselisihan faham antara dia dan suami kerana perbezaan latar belakang sebaliknya rumah tangga dibina kekal harmoni ibarat sebuah keluarga Malaysia.

Kehidupan mereka berdua yang kini menetap di Kota Damansara di sini juga bertambah bahagia apabila dikurniakan tiga cahaya mata.

DR Siti Hajar diterima baik ibu mentuanya.
DR Siti Hajar diterima baik ibu mentuanya.

"Suami juga memeluk Islam dengan kerelaan sendiri dan bukan kerana dorongan atau paksaan. Alhamdulillah, keluarga suami tiada masalah dan keluarga saya juga terima baik suami, malah merestui perkahwinan kami.

"Perkahwinan campur ini memberi peluang kepada kami untuk belajar bagaimana mencipta keserasian walaupun datang daripada budaya berbeza," katanya yang berkahwin dengan Iskandar pada 20 Mac 2015.

Dalam pada itu, Dr Siti Hajar turut menekankan betapa pentingnya bahasa, terutama dalam komunikasi dengan anak dan sebaik-baiknya ambil kelebihan untuk mempelajari bahasa ketiga menerusi perkahwinan campur ini.

"Jangan tinggalkan bahasa ibunda masing-masing walaupun berkahwin campur dan jika boleh, turunkanlah ia kepada anak-anak.

"Itu yang sering suami saya ingatkan kerana dia sendiri boleh bertutur dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hakka dan Tamil jadi menganggap ia (bahasa) medium yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia," katanya yang bekerja dengan suami di hospital yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 7:00 AM