Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Biarpun berlainan agama, hubungan Mah Abdullah dengan adik-beradik kandungnya yang berbangsa Cina tetap terjalin sehingga kini.

Cuma, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sebelum ini menyebabkan Mah, 83, yang menetap di Pantai Penyabung, Mersing, Johor tidak dapat bersua dengan tiga daripada sembilan adik-beradiknya yang masih ada.

Bagaimanapun, Mah akhirnya dapat bertemu dengan mereka pada bulan lalu dan ia mendapat perhatian netizen selepas cucunya, Azlinda Azman, 25, memuat naik video pertemuan itu di TikTok.

Bercerita lanjut, Azlinda yang menetap di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, berkata neneknya diserahkan kepada keluarga angkat beragama Islam sejak kecil.

Menurutnya, neneknya hanya tinggal berlainan rumah dengan adik-beradik kandung, tetapi mereka tidak pernah dipisahkan kerana sering bermain bersama .

Katanya, dia difahamkan nenek diserahkan kepada keluarga angkat kerana ibu bapanya orang susah.

"Saya diberitahu keluarga kandung nenek terpaksa melakukannya kerana nenek lahir pada tahun harimau, manakala abangnya pula (lahir pada) tahun lembu mengikut kalendar lunar Cina.

"Abang nenek (dikatakan) sering jatuh sakit... jadi mereka perlu dipisahkan kerana tidak serasi jika mengikut tilikan dan kepercayaan orang dahulu.

"Bagaimanapun, nenek dengan keluarga angkat dan keluarga kandungnya tinggal berhampiran, jadi tidak terpisah dengan adik-beradik lain malah sering bermain sama pada waktu petang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MAH Abdullah (duduk kiri) bergambar dengan adiknya, Ah Yie (berdiri tengah) dan kakaknya, Ah Mue (duduk kanan) ketika bersua bulan lalu. FOTO Ihsan Azlinda Azman
MAH Abdullah (duduk kiri) bergambar dengan adiknya, Ah Yie (berdiri tengah) dan kakaknya, Ah Mue (duduk kanan) ketika bersua bulan lalu. FOTO Ihsan Azlinda Azman

Menurut Azlinda, pertemuan nenek dengan kakaknya, Ah Mue, 86, dan adik perempuannya, Ah Yie, 75, diadakan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

"Dua nenek saudara saya itu menetap di Johor Bahru dan kerana terlalu rindu, nenek datang dari Mersing untuk bertemu mereka. Kali terakhir mereka bersua pada 2019 iaitu sebelum pandemik melanda.

"Sebagai cucu, saya suka lihat kemesraan mereka. Nenek tidak pandai berbahasa Mandarin, jadi mereka berbual dalam bahasa Melayu saja.

"Tahun ini ada kelonggaran pergerakan, jadi ada kemungkinan nenek akan berkumpul lagi dengan adik-beradiknya bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Azlinda tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok itu akan meraih tontonan tinggi dalam tempoh singkat.

"Saya muat naik di TikTok untuk suka-suka saja, namun banyak komen positif diterima malah ada yang tersentuh dengan perkongsian itu.

"Diharap, mereka yang menonton dapat mesej positif iaitu pentingnya mengeratkan hubungan keluarga dan perpaduan semasa Malaysia walaupun berlainan agama serta bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 3:30 PM