LIU Xuezhou.
LIU Xuezhou.
Agensi

Beijing: Remaja lelaki yang dijual ibu bapanya ketika masih bayi ditemukan mati di pantai timur China di Hainan pada Isnin lalu.

Ia tidak lama selepas dia mendakwa tidak diterima ibu bapa kandungnya.

Menurut laporan South China Morning Post, Liu Xuezhou, 17, dipercayai membunuh diri.

Sebelum itu, remaja terbabit meninggalkan nota menerusi aplikasi media sosial Weibo dan ia membimbangkan ramai pihak mengenai keselamatannya.

Polis Sanya kemudian melancarkan operasi mencari remaja berkenaan.

Liu yang ditemukan orang awam kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Kejadian yang menimpa remaja itu menarik perhatian masyarakat di China dan ia tular di media sosial.

Semuanya bermula pada awal Januari ini selepas dia memuat naik kisah keputusan ibu bapa kandung yang mahu memutuskan hubungan dengannya selepas mereka bertemu semula, pada Disember tahun lalu.

Menurut laporan media, Liu dijual kepada keluarga angkat pada 2005.

Namun, dia menjadi yatim piatu pada usia empat tahun selepas ibu bapa angkatnya itu maut dalam kejadian letupan di rumah mereka di Heibi.

Selepas kejadian berkenaan, dia kemudian dijaga beberapa saudara.

Remaja itu kemudian berjaya mengesan ibu bapa kandungnya pada bulan lalu selepas melakukan pencarian dalam talian.

Namun, ibu bapanya sudah bercerai dan masing-masing berkahwin lain dan hidup bersama keluarga baharu.

Bagaimanapun, kedua-duanya dikatakan enggan menerima Liu dan enggan tinggal bersama dengan remaja berkenaan.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, Liu menulis surat yang mengatakan ibu bapanya sekali lagi meninggalkannya.

Dalam pertemuan pertama, semuanya berjalan lancar sehingga Liu meminta untuk tinggal berasingan.

Bapanya, Ding Shuangquan dan ibunya, Zhang memaklumkan kepada media bahawa Liu mendesak untuk membeli rumah sedangkan mereka tidak berkemampuan.

Liu sebaliknya mendakwa ibu bapa kandungnya tidak membenarkan dia tinggal serumah selain tidak membenarkan dia melawat mereka.

Remaja itu berkata, dia meminta ibu bapanya membeli atau menyewa rumah kerana dia tidak memiliki tempat tinggal.

Zhang berkata kepada Shangyou News, dia memutuskan hubungan dengan Liu dan kembali hidup dengan aman.

"Dia memaksa kami membeli rumah untuknya sedang kami tidak mampu berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:30 AM