LIU bersama neneknya di bilik yang disewanya di Chengdu, tempat dia belajar.  - Agensi
LIU bersama neneknya di bilik yang disewanya di Chengdu, tempat dia belajar. - Agensi
Agensi

Beijing: Seorang pelajar Universiti Chengdu terpaksa membawa neneknya tinggal bersama-samanya berhampiran universiti berkenaan kerana tidak ada orang yang boleh menjaganya.

Liu Lin, pelajar tahun dua universiti itu bertindak demikian selepas keluarganya menghadapi pelbagai musibah sepanjang beberapa bulan lalu.

Neneknya patah kaki Mac lalu. Sebulan kemudian, bapanya pula meninggal dunia. Kerana tertekan, ibunya menghadapi masalah mental, lapor Sina News.

Memandangkan ibunya tidak berupaya menjaga neneknya yang berusia 93 tahun, Liu mengambil keputusan Ogos lalu untuk membawa neneknya dari kampung untuk tinggal bersama-samanya di bilik yang disewanya berhampiran universiti itu.

“Nenek saya membesarkan saya. Kini, giliran saya menjaganya. Tak ada pilihan. Dia mempunyai tiga anak lelaki, semua sudah meninggal dunia,” kata Liu.

Mereka kini menginap di bilik yang dilengkapi dua katil, almari dan meja belajar di Chengdu. Dia membayar sewa 600 yuan (RM387) sebulan untuk bilik berkenaan. Adiknya yang bekerja di bandar memberikan hampir semua gajinya sebanyak 2,000 yuan (RM1,288) sebulan untuk membantu Liu dan nenek mereka.

Untuk menyediakan makanan neneknya, Liu bangun awal setiap pagi. Dia akan memasak sebelum ke kuliah dan pulang untuk menyediakan makan tengah hari.

Liu juga menyimpan banyak filem perang kegemaran neneknya di dalam komputernya untuk membolehkan wanita tua itu menonton ketika dia menghadiri kuliah.

Meskipun sibuk menjaga neneknya, Liu setakat ini masih belum menunjukkan sebarang masalah dalam pelajarannya.

Kisahnya yang tular di media sosial di China meraih banyak simpati. Ramai yang ingin membantu, tetapi Liu berkata: “Saya tidak memerlukan bantuan. Adik saya menyerahkan hampir semua gajinya untuk menyara saya dan nenek. Saya juga bekerja sambilan. Kami boleh meneruskan kehidupan tanpa bergantung kepada sesiapa,”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 10:34 AM