Allahyarham Siti Sarah
Allahyarham Siti Sarah
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Nama besar bapanya, Raissuddin Hamzah sebagai penyanyi terkenal era 1980-an bukanlah tiket untuk Allahyarham Siti Sarah, 37, menempa nama dengan mudah dalam industri muzik tanah air.

Raissuddin juga tidak menggunakan jalan pintas menerusi hubungan baiknya dengan wartawan untuk menaikkan nama Siti Sarah, sebaliknya dia mendidik anak keduanya itu meniti laluan berliku menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan nyanyian.

Pertandingan demi pertandingan disertai, namun rezeki tidak memihak kepada Siti Sarah untuk bergelar juara dan berpuas hati sekadar menduduki tempat kedua atau ketiga.

Raissuddin akhirnya membawa Siti Sarah untuk ke peringkat saringan pertandingan nyanyian anjuran majalah hiburan popular URTV iaitu Bintang URTV 2001 peringkat Zon Timur yang berlangsung di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang.

Mereka lambat tiba dan menjadi peserta terakhir yang mendaftar. Raissuddin juga bertekad, sekiranya Siti Sarah gagal kali ini, lupakan saja niat menjadi penyanyi.

Namun, rezeki ternyata menyebelahi Siti Sarah apabila bergelar juara dan layak ke peringkat akhir pertandingan itu yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada September 2001 dan berjaya muncul juara.

Salah seorang juri, Ajai yang juga komposer popular tertarik dengan suara Siti Sarah dan menawarkannya menyertai syarikat rakaman NAR Records pada awal 2002.

Album sulungnya yang menggunakan namanya sebagai judul album dikeluarkan pada tahun yang sama dengan lagu Kesetiaan dikeluarkan sebagai single pertama.

Dari situ, bermulalah era kegemilangan Siti Sarah dalam nyanyian. Malah, pada satu ketika nama Siti Sarah pernah disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Seri Siti Nurhaliza berikutan kemantapan vokalnya selain memiliki pangkal nama Siti dan huruf S.

Selain itu, Siti Sarah juga seorang anak yang baik dan menjadi harapan keluarga.

Ketika bapanya bertanding dalam peringkat akhir Bintang RTM pada 1983, Allahyarham ibunya, Noor Aini Mohamad sedang mengandungkan Siti Sarah.

Hubungan dengan pihak media begitu akrab kerana Raissuddin mendidiknya begitu sempurna untuk berurusan dengan media.

Daripada gadis yang mulanya malu-malu dan merendah diri kerana menganggap tiada rupa berbanding penyanyi lain, dia mula membina kekuatan dan mencari imej yang sesuai buatnya.

Kegemilangannya terserlah kerana mempunyai tenaga pengurusan yang begitu efisyen.

Penyanyi yang dilahirkan pada 15 September 1984 ini turut berjaya menjadi peserta akhir untuk Bintang RTM 2001.

Kejayaan lain yang diraih ialah anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003 (AIM 2003).

Selain itu, Sarah juga berjaya menerima anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2003 (APM 2003).

Dia juga satu-satunya artis baru yang turut tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang dimenangi Siti Nurhaliza pada tahun terbabit.

Pembabitan lain Siti Sarah ialah menyertai pertandingan realiti musim kedua One In A Million 2008, pertandingan antarabangsa World Championship of Performance Arts (WCOPA) 2009, membintangi filem Man Sewel Datang KL (2011) yang dibintangi oleh suaminya, Shuib Sepahtu dan menyertai program realiti TV popular Gegar Vaganza 3 pada 2016.

Sarah bertemu jodoh dengan pelawak dan pelakon popular, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad pada 2011 dan memiliki empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang baru dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.

Awal April lalu, Sarah berkongsi khabar gembira apabila dia disahkan hamil anak keempat.

Siti Sarah turut memiliki seorang abang dan adik lelaki iaitu Ahmad Firdaus dan Ahmad Yazeed.

Berita berkaitan

  • Shuib lega, syukur anak-anak faham ibu mereka sudah tiada
  • Anak-anak belum tahu Siti Sarah meninggal dunia
  • Siti Sarah selamat dikebumi
  • Shuib 'cemburu' pemergian Siti Sarah
  • Itu bukan gambar 'baby' Siti Sarah & Shuib
  • Air mata Siti Sarah tatapan terakhir Shuib dan anak-anak
  • Shuib, ahli keluarga terdekat dibenar tunai solat jenazah Siti Sarah
  • Video pelukan terakhir Siti Sarah dan anak-anak mengundang sayu
  • 'Arwah bergelut selamatkan anak kami' - Shuib
  • Siti Sarah mahu rahsiakan ibadah korban di Gaza
  • 'Bidadari syurga saya pergi buat selamanya'
  • Siti Sarah meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:57 PM