Najiy Jefri


Gombak: Jenazah penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, 1.20 tengah hari ini.

Suami Allahyarham, Shuib yang juga pelakon dan pelawak popular dan adik bongsu Siti Sarah, Ahmad Yazeed mengiringi jenazah sehingga ke liang lahad dengan lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

Terdahulu, urusan tayamum dan solat jenazah diuruskan pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah anak kedua daripada tiga beradik itu dikebumikan di lokasi sama kubur arwah ibunya, Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga, rakan artis, media serta peminat.

Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM jam 5.13 pagi, hari ini.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke ICU hospital berkenaan selepas tahap oksigen menurun pada 4 Ogos lalu. Pada hari yang sama dia sepatutnya memotong gelang kuarantin.

Siti Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada 6 Ogos lalu dan arwah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan pada jam 5 petang.

Terdahulu, Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Pasangan itu yang berkahwin pada 26 Februari 2011 terlebih dulu dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.

AHLI keluarga terdekat memakai sut PPE ketika menguruskan jenazah penyanyi, Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak untuk dikebumikan. FOTO Zulfadhli Zulkifli
AHLI keluarga terdekat memakai sut PPE ketika menguruskan jenazah penyanyi, Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak untuk dikebumikan. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Berita berkaitan

  • Shuib 'cemburu' pemergian Siti Sarah
  • Itu bukan gambar 'baby' Siti Sarah & Shuib
  • Air mata Siti Sarah tatapan terakhir Shuib dan anak-anak
  • Shuib, ahli keluarga terdekat dibenar tunai solat jenazah Siti Sarah
  • Video pelukan terakhir Siti Sarah dan anak-anak mengundang sayu
  • 'Arwah bergelut selamatkan anak kami' - Shuib
  • Siti Sarah mahu rahsiakan ibadah korban di Gaza
  • 'Bidadari syurga saya pergi buat selamanya'
  • Siti Sarah meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 2:16 PM