MALAYSIA perlu memantapkan kepakaran dalam R&D bagi bidang biologi molekul dan kejuruteraan membabitkan teknologi mikrofluidik.
MALAYSIA perlu memantapkan kepakaran dalam R&D bagi bidang biologi molekul dan kejuruteraan membabitkan teknologi mikrofluidik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia boleh menjadi antara negara pengeluar vaksin sekiranya vaksin keluaran tempatan pertama sedang dibangunkan menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik atau ringkasnya mRNA untuk Covid-19 berjaya direalisasikan.

Mengikut rekod, vaksin Pfizer-BioNTech dibangunkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat iaitu Pfizer dan rakan niaganya dari Jerman, BioNTech merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus merupakan vaksin pertama diterima Malaysia.

Dengan keberhasilan vaksin itu yang disifatkan selamat diikuti vaksin jenis virus ternyahaktif daripada syarikat Sinovac, China, beberapa negara termasuk Malaysia mula mengorak langkah menghasilkan vaksin menggunakan teknologi mRNA.

Pensyarah Kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata, Malaysia setakat ini belum pernah menghasilkan vaksin untuk penyakit manusia dan sekiranya teknologi mRNA ini berjaya, ia bakal menjadi titik tolak dalam pemerkasaan industri pembuatan vaksin di negara ini.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang biologi molekul, genomik dan teknologi berasaskan sel mamalia menjelaskan bahawa vaksin mRNA merupakan vaksin terdiri daripada bahan yang mengandungi maklumat genetik untuk menghasilkan protein virus yang dihantar ke dalam sel manusia menerusi suntikan.

Protein virus dihasilkan itu seterusnya dapat dicam tubuh seseorang individu itu untuk penghasilan antibodi yang sekali gus dapat memberi keimunan terhadap virus tersebut.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, penghasilan vaksin mRNA menggunakan kaedah partikel-nano lipid (Lipid nanoparticle atau LNP) melibatkan proses bebas-sel (cell-free process) yang secara teknikalnya, dijangka lebih cepat berbanding kaedah penghasilan vaksin jenis lain.

"Kedua-dua syarikat Pfizer dan Moderna menghasilkan produk vaksin Covid-19 melalui teknologi mRNA yang menggunakan partikel-nano lipid untuk membawa atau 'membungkus' mRNA .

"Pembungkusan mRNA dalam struktur LNP adalah penting untuk memastikan kestabilan dan keberkesanan bahan mRNA untuk masuk ke dalam sel dan seterusnya dapat menjalankan fungsinya bagi menghasilkan protein virus setelah disuntik ke dalam tubuh," katanya.

Proses bebas-sel ini, katanya, melibatkan tindakan enzim yang perlu untuk menukarkan asid deoksiribonukleik (DNA) kepada mRNA melalui tindak balas 'transkripsi in vitro.'

"Dalam konteks bebas-sel, ia merujuk kepada proses yang tidak melibatkan penggunaan kultur sel mamalia untuk memperbanyakkan virus seperti digunakan dalam kebanyakan teknologi penghasilan vaksin berasaskan virus berskala besar oleh industri biofarmaseutikal, contohnya vaksin jenis virus ternyahaktif daripada Sinovac.

IMR dan UPM membangunkan vaksin Covid-19  yang dijangka siap menjelang 2024.
IMR dan UPM membangunkan vaksin Covid-19 yang dijangka siap menjelang 2024.

"Ada kaedah penghasilan vaksin berasaskan telur yang merupakan teknologi lama tetapi masih digunakan. Namun ia mengambil masa lama dan mungkin ada ketidaksesuaian genetik yang boleh menyebabkan vaksin dihasilkan mungkin tidak begitu berkesan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Nurul Yuziana berkata, vaksin mRNA turut disifatkan selamat berikutan formulasi digunakan untuk menghasilkan vaksin tersebut wujud secara semula jadi dalam tubuh manusia, selain bahan lain yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

"Bahan lipid seperti lipid yang boleh terion, kolesterol dan lipid pembantu yang digunakan bagi membina struktur LNP untuk membungkus mRNA adalah bahan lemak yang wujud secara semula jadi dalam tubuh dan ia boleh disingkirkan secara alami atau digunakan semula di dalam tubuh manusia.

"Sementara bahan lain seperti PEG (Polyethylene glycol) yang diperlukan untuk memastikan kestabilan struktur LNP merupakan bahan biasa digunakan dalam produk ubat-ubatan dan mendapat kelulusan FDA," katanya.

Bagi merealisasikan kejayaan penghasilan vaksin mRNA berasaskan partikel-nano lipid, Malaysia perlu mengambil peluang dengan memantapkan kepakaran dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama bagi bidang biologi molekul dan kejuruteraan yang membabitkan teknologi mikrofluidik.

Selain itu, penyediaan fasiliti pengeluaran patuh Amalan Perkilangan Baik (GMP) dengan dilengkapi mesin berautomasi serta tenaga kerja kompeten, turut mendorong keberhasilan proses pembangunan vaksin mRNA.

"Teknologi penghasilan vaksin yang merupakan produk biologik tidak sama dengan pembuatan ubat sintetik. Ia merupakan aplikasi daripada bidang bioteknologi yang secara spesifiknya melibatkan penggunaan pelbagai kaedah biologi molekul, teknologi berasaskan sel dan kejuruteraan bioproses.

"Saya mempunyai pengalaman sebagai saintis di syarikat Inno Biologics Sdn Bhd yang merupakan syarikat penghasilan produk biologik bagi protein kompleks seperti antibodi monoklonal dan eritropoietin melalui platform bioproses yang paling hampir dengan penghasilan vaksin. Dan ini membuktikan kita pernah mempunyai kepakaran teknikal dalam kalangan graduan tempatan dan pengalaman menggunakan teknologi dalam penghasilan biologik di Malaysia," katanya.

Vaksin Covid-19 dibangunkan di Malaysia melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan melalui ujian praklinikal membabitkan haiwan mulai bulan depan dan dijangka siap menjelang 2024.

Selain Malaysia, Thailand bakal melancarkan ujian klinikal ke atas manusia untuk vaksin Covid-19 buatan negara itu selepas kajian praklinikal menunjukkan keputusan memberangsangkan.

WHO juga baru-baru ini dilaporkan akan membangunkan hab vaksin di Afrika Selatan bagi membolehkan syarikat di negara itu memulakan proses menghasilkan vaksin mRNA dalam tempoh sembilan ke 12 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:35 AM