BERTUJUAN memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan SARS-CoV-2.
BERTUJUAN memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan SARS-CoV-2.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Bermula 21 Oktober lalu, penerima vaksin Coronavac yang lengkap divaksinasi sekurang-kurang selepas tiga bulan, perlu diberikan dos penggalak daripada jenis berbeza (heterolog) iaitu vaksin Comirnaty.

Keutamaan penerimaan dos penggalak adalah warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, petugas barisan hadapan dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain.

Di samping itu juga, penerima vaksin Comirnaty yang lengkap selepas enam bulan, juga bakal menerima dos penggalak daripada jenis sama (homolog) iaitu Comirnaty.

Pakar Virologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata, tujuan utama pemberian dos penggalak adalah untuk memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan SARS-CoV-2.

Menurutnya, ini berikutan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan berlaku kemerosotan dalam gerak balas imun selepas satu tempoh tertentu selepas pengambilan vaksin.

"Pengambilan dos penggalak akan membantu meningkatkan semula gerak balas imun terhadap jangkitan sebenar virus sama ada daripada varian asal ataupun varian yang membimbangkan (VOC) yang masih berlegar.

"Kebelakangan ini, bilangan kemasukan ke hospital dan memerlukan rawatan bantuan pernafasan dan perhatian di unit rawatan rapi (ICU) mula meningkat.

RAKYAT Malaysia mula mendapatkan dos penggalak Comirnaty.
RAKYAT Malaysia mula mendapatkan dos penggalak Comirnaty.

"Ini berikutan kebenaran merentas sempadan negeri dibenarkan dan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Dr Nazlina berkata, laporan daripada 'The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination' (RECoVaM), Institut Penyelidikan Klinikal menyatakan, terdapat peningkatan bilangan mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk atau kematian dalam kalangan mereka yang lengkap divaksinasi.

"Perkara ini mengesahkan laporan sebelum ini yang menunjukkan penurunan keberkesanan vaksin selepas tempoh tertentu dan jenis vaksin diambil.

"Maka, wajar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat gesaan supaya semua individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin Covid-19 untuk hadir bagi menerima suntikan berkenaan," katanya.

Dr Nazlina berkata, namun ada rungutan mengatakan berlaku kesan sampingan yang lebih berat selepas penerimaan dos penggalak daripada jenis Comirnaty, berbanding kesan sampingan dialami selepas mendapat dos pertama dan kedua CoronaVac.

DR NAZLINA
DR NAZLINA

Kenapa fenomena ini berlaku?

Kata Dr Nazlina, vaksin CoronaVac adalah persediaan vaksin daripada jenis virus dilemahkan dan menghasilkan antibodi yang boleh meneutralkan virus (neutralising antibodies) dan kehadiran sel B ingatan terhadap vaksin ini bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Ia menggunakan pelantar penghasilan vaksin yang mempunyai sejarah agak lama dan ramai beranggapan jenis vaksin berkenaan adalah persediaan terbaik. Namun, ini bukan hakikat sebenar bagi CoronaVac.

"Penerimaan dos penggalak Cominarty sebenarnya adalah pendedahan pertama tubuh kepada vaksin jenis mRNA ini. Bentuk vaksin ini sama sekali berbeza dengan bentuk vaksin CoronaVac.

"Selepas vaksin ini disuntik pada bahagian otot, sekumpulan sel imun dipanggil sel dendritik akan bergabung dengan nanolipid mengandungi salinan mRNA yang mengekod untuk protein terpilih pada virus SARS-CoV2.

"mRNA ini akan mengarahkan sel dendritik untuk menghasilkan protein yang dikodkan. Protein itu, kemudian terdedah kepada dua jenis sel imun iaitu sel B dan sel T," katanya.

WARGA emas, L Suppiah menunjukkan tiga jari selepas menerima suntikan vaksin dos penggalak.
WARGA emas, L Suppiah menunjukkan tiga jari selepas menerima suntikan vaksin dos penggalak.

Dr Nazlina yang juga pensyarah mikrobiologi berkata, peragaan protein virus itu akan menghasilkan gerak balas keimunan perolehan khusus kepada protein virus.

Kata Dr Nazlina, sel B akan membeza dan merembeskan antibodi yang boleh meneutralkan virus SARS-CoV2, jika berlaku jangkitan sebenar.

"Manakala keimunan yang diperoleh daripada sel T akan membantu dalam pembunuhan sel terjangkit virus.

"Penerimaan vaksin dos penggalak heterolog membantu ingatan semula sistem imun terhadap sebahagian protein virus SARS-CoV2, malah bentuk perlindungan tambahan bakal diperoleh.

"Kesan sampingan teruk seperti demam, sakit otot dan keletihan adalah proses yang biasa dialami selepas penerimaan vaksin jenis baharu dan berakhir dalam tempoh dua hingga tiga hari," katanya.

Dr Nazlina berkata, walaupun begitu, penerima dos penggalak perlu memaklumkan kepada pusat pemberian vaksin (PPV) sekiranya mereka mempunyai alahan terhadap bahan yang terkandung dalam persediaan Cominarty. Jenis vaksin lain perlu diberikan dalam kes ini.

"Laporan awal dari Chile menyatakan bahawa penerimaan vaksin penggalak daripada jenis sama iaitu CoronaVac adalah 71 peratus berkesan terhadap Covid-19 berbanding Pfizer yang mempunyai keberkesanan sebanyak 93 peratus dan AstraZeneca (91 peratus).

"Berdasarkan data ini, keputusan awal KKM hanya menggalakkan penggunaan dos penggalak Cominarty.

"Penerimaan vaksin penggalak daripada jenis sama atau homolog iaitu dos ketiga daripada jenis CoronaVac atau AstraZeneca sudah pun dibenarkan di Malaysia berikutan persetujuan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD)," katanya.

Tambahnya, pemberian lengkap mana-mana jenis vaksin adalah 83 hingga 88 peratus berkesan menghalang kematian, gejala teruk Covid-19 dan mencegah kemasukan ke unit rawatan rapi seperti dilaporkan RECoVaM.

"Kerisauan juga timbul terhadap penerimaan vaksin heterolog. Berdasarkan laporan sama, hanya kesan sampingan biasa dialami mereka yang mendapat suntikan vaksin dilaporkan.

"Tiada kematian akibat mendapat gabungan vaksin dilaporkan. Kematian hanya lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi.

"Maka, adalah lebih selamat untuk mengambil vaksin dos penggalak berbanding risiko mendapat jangkitan sebenar SARS-CoV2," katanya.

PETUGAS barisan hadapan menunjukkan aplikasi ‘MySejahtera’ selepas menerima suntikan vaksin dos penggalak.
PETUGAS barisan hadapan menunjukkan aplikasi ‘MySejahtera’ selepas menerima suntikan vaksin dos penggalak.

Dr Nazlina berkata, satu perkara yang perlu diambil perhatian adalah kemerosotan gerak balas imun terhadap pelbagai jenis vaksin Covid-19 dan jangkitan sebenar SARS-CoV-2 memang berlaku.

Beliau berkata, ini diketahui melalui kajian pemantauan antibodi dan sel B dan sel T penerima vaksin serta bekas pesakit Covid-19.

"Galakan pengambilan vaksin bukan satu propaganda pembekal vaksin, tetapi berdasarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam gerak balas keimunan yang khusus terhadap SARS-CoV-2 dan persediaan vaksin berkaitan.

"Penerimaan vaksin gabungan berkesan memberikan perlindungan keimunan tambahan dan tidak membahayakan.

"Kesan sampingan yang lebih teruk mungkin dirasai dalam segelintir penerima. Namun, risiko ini lebih kecil berbanding jika mendapat jangkitan sebenar virus SARS-CoV-2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 9:08 AM