LEBIH 1,000 saintis bertungkus-lumus untuk membangunkan vaksin Covid-19. FOTO AFP
LEBIH 1,000 saintis bertungkus-lumus untuk membangunkan vaksin Covid-19. FOTO AFP
Agensi

BEIJING: China kini dalam usaha menghasilkan sembilan jenis vaksin untuk koronavirus baharu (Covid-19).

Ia dibangunkan menerusi lima pendekatan termasuk vaksin menyahaktifkan virus itu, virus viral berasaskan vektor dan vaksin genetik.

Ketika ini, lebih 1,000 saintis bertungkus-lumus untuk membangunkan vaksin berkenaan.

Ia sekali gus menyaksikan China dan negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) berlumba-lumba untuk menjadi pengeluar vaksin pertama Covid-19.

Perkembangan ketika jangkitan di China menurun secara mendadak, tetapi meningkat di seluruh dunia.

South China Morning Post melaporkan sebuah syarikat pengeluar vaksin di Tianjin mencari individu untuk ujian klinikal satu daripada sembilan vaksin berkenaan.

CanSino Biologics itu dalam kenyataan berkata, peserta perlu dalam keadaan sihat untuk menyertai ujian selama enam bulan itu.

Ia dibangunkan dengan kerjasama Akademi Sains Perubatan Ketenteraan.

“Vaksin itu tidak mengandungi bahan jangkitan, selamat dan stabil.

“Mereka hanya perlu mengambilnya sekali sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, laporan sama menyebut menerusi kajian awal, saintis China mengenal pasti ada dua jenis Covid-19.

Ia akan menggunakan teknologi messenger ribonucleic acid (mRNA) yang akan menyalin kod genetik virus itu dan bukannya dari virus asal.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada vaksin mRNA pernah diluluskan untuk kegunaan manusia.

Vaksin itu dibangunkan bersama dengan kerjasama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China dan Universiti Tongji di Shanghai.

Ia kini diuji terhadap haiwan dan dijangka memasuki fasa klinikal pada pertengahan April.

Laporan itu sehari selepas AS mengumumkan sebuah syarikat negara berkenaan mencari peserta sukarela untuk menguji vaksin Covid-19.

AS sebelum ini cuba membeli vaksin sama yang sedang dibangunkan Jerman, tetapi permintaan itu ditolak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:55 AM