VIRUS herpes simplex 1, diubah suai menghasilkan virus onkolitik.
VIRUS herpes simplex 1, diubah suai menghasilkan virus onkolitik.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


KEMOTERAPI dan radioterapi diketahui ramai adalah rawatan yang biasa digunakan untuk membunuh sel barah.

Tujuannya bagi mengelak sel barah daripada merebak ke bahagian badan yang lain.

Namun, terdapat satu rawatan alternatif barah iaitu menerusi terapi virus onkolitik.

Dalam rawatan ini, ia menggunakan virus yang disasarkan kepada ketumbuhan bagi merawat penyakit berkenaan.

Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, virus onkolitik yang pertama mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) ialah talimogene laherparepvec (Imlygic®) atau T-VEC.

Menurutnya, virus onkolitik digunakan lebih awal dalam merawat melanoma iaitu sejenis barah kulit.

"Ia virus yang diubah suai daripada virus herpes simplex 1 (virus yang menyebabkan jangkitan bibir dan sebagainya).

"Virus ini tidak menyebabkan masalah yang serius terhadap kesihatan dan akan kekal berada di dalam badan.

"Namun, apabila sistem imun badan menjadi lemah, ia akan menyebabkan timbul ruam pada bibir," katanya.

Dr Murallitharan berkata, virus onkolitik diubah suai ini ditambah dengan gen tambahan yang terbabit dalam penghasilan GM CSF (protein merangsang sistem imun menjadi aktif).

VIRUS onkolitik mempunyai potensi yang besar merawat barah.
VIRUS onkolitik mempunyai potensi yang besar merawat barah.

"Apabila virus onkolitik menjangkiti sel ketumbuhan, virus ini akan menghasilkan salinan sendiri sehingga sel itu pecah.

"Sel barah yang mati akan melepaskan bahan seperti antigen ketumbuhan, berkemungkinan dapat dikenal pasti oleh sistem imun badan.

"Seterusnya, virus onkolitik akan memberikan isyarat kepada sistem imun untuk membunuh sel barah dan saki-baki sel berkenaan," katanya.

Menurut Dr Murallitharan, selain itu, penyelidik juga sedang mencuba menggunakan virus lain dalam rawatan barah.

"Teknologi ini amat penting untuk merawat penyakit berkenaan pada masa hadapan," katanya.

Jelasnya, teknologi yang sama ini turut digunakan dalam menghasilkan vaksin Covid-19 terutama AstraZeneca.

"Ini vaksin yang dihasilkan menggunakan sisa sel protein virus Covid-19 dan berupaya mengaktifkan sistem imun badan.

KEMOTERAPI adalah rawatan biasa membunuh sel barah.
KEMOTERAPI adalah rawatan biasa membunuh sel barah.

"Ia membolehkan sistem imun mengenal pasti kehadiran sel yang baik atau jahat dalam tubuh serta membentuk antibodi bagi menghalang serangan jangkitan Covid-19," katanya.

Dr Murallitharan berkata, virus dan sel barah mempunyai ciri persamaan daripada segi cara ia merebak.

"Virus adalah benda asing iaitu mikrorganisma yang hidup secara semula jadi.

"Apabila virus masuk ke dalam sel dalam badan, ia akan menanggalkan lapisannya lalu mengeluarkan protein di bahagian pengeluaran sel manusia," katanya.

Menurut Dr Murallitharan, ia akan mengambil alih peranan di bahagian pengeluaran sel itu, lalu menghasilkan bahan kimia sendiri dan membiak.

"Bermula jangkitan di satu tempat, kemudian ia merebak ke dalam darah dan seluruh tubuh seperti otak, paru-paru dan hati.

"Terdapat tiga cara utama sistem imun menentang virus di dalam badan," katanya.

Pertama, menerusi sel B 'lymphocyte' yang menyerang sel darah putih.

RAWATAN radioterapi untuk membunuh dan menghalang sel barah merebak ke anggota badan lain.
RAWATAN radioterapi untuk membunuh dan menghalang sel barah merebak ke anggota badan lain.

"Sel B lymphocytes akan mengepung sel virus dan membolehkannya diserang serta dibunuh oleh sistem imun.

"Sekiranya pernah mengambil suntikan vaksin, sistem imun akan segera bertindak menghalang sebarang kehadiran virus dalam tubuh.

"Jika tidak (tanpa vaksin), sistem imun mengambil masa beberapa hari untuk memberikan tindak balas. Contohnya, demam denggi," katanya.

Kedua, menerusi sel 'helper T lymphocytes' apabila tugas sel ini ialah melakukan pemantauan sekiranya terdapat kehadiran virus di dalam badan.

"Sel ini bergabung dengan antigen untuk menghasilkan sistem imun tubuh.

"Cara terakhir ialah sel 'cytotoxicT lymphocytes'. Sel ini membawa 'senjata' yang akan membunuh sel barah jika menemuinya dalam badan. Ini bagi menghalangnya daripada merebak," katanya.

Menurut Dr Murallitharan, terapi membunuh sel kanser menggunakan virus onkolitik sudah lama diketahui sejak abad ke-19.

"Kini semakin ramai pesakit mendapat manfaat daripada kaedah rawatan terapi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:00 AM