VAKSIN Pfizer. FOTO AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO AFP
AFP

Frankfurt: BioNTech, syarikat pengeluar vaksin Covid-19 mengumumkan cadangannya untuk membina ibu pejabat dan tapak pembuatan Asia Tenggara di Singapura, hari ini.

Bangunan itu akan berfungsi sebagai tempat penghasilan ratusan juta vaksin berasaskan kaedah Messenger RNA (mRNA) setiap tahun.

Kerja pembinaannya akan bermula tahun ini dan dijangka beroperasi pada 2023, kata syarikat berpangkalan di Jerman itu dalam satu kenyataan.

"Dengan kemudahan pengeluaran mRNA yang dirancang ini, kami akan meningkatkan kapasiti rangkaian keseluruhan dan mengembangkan kemampuan untuk menghasikan dan membekalkan vaksin serta terapi mRNA kepada orang ramai di seluruh dunia," kata Ketua Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin.

Vaksin yang dihasilkan oleh BioNTech bersama-sama dengan Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) menjadi suntikan Covid-19 pertama yang diluluskan untuk digunakan di neagara Barat pada akhir tahun lalu.

Kini, vaksin itu dibekalkan kepada lebih 90 negara di seluruh dunia dan diharap dapat meningkatkan pengeluarannya hingga tiga bilion dos pada akhir tahun daripada 2.5 bilion dos disasarkan sebelum ini.

Jumlah itu dijangka semakin meningkat dan menjadi lebih dari tiga bilion dos pada tahun depan.

Tapak pengeluaran Singapura akan menjadi kemudahan pembuatan mRNA pertama syarikat Jerman di luar Eropah, dan akan dianggarkan mempunyai kapasiti beberapa ratus juta dos vaksin tersebut.

Rakan kongsinya, Pfizer pula mengendalikan tapak pengeluaran di AS dan Belgium.

Dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran global untuk vaksin Covid , BioNTech dan Pfizer menetapkan perkongsian pelesenan dan pembuatan dengan syarikat farmaseutikal lain seperti Merck, Novartis dan Sanofi.

BioNTech dan Pfizer berpendapat bahawa kerjasama berterusan itu akan membantu memastikan bekalan vaksin yang lebih luas, bukan pengecualian hak paten seperti yang dicari oleh AS .

Teknologi genetik mRNA melatih tubuh untuk menghasilkan 'spike protein' seperti yang terdapat pada Covid-19.

Apabila terdedah kepada virus sebenar kemudian, tubuh mengenali 'spike protein' dan mampu melawannya.

Firma farmasi AS Moderna dilaporkan menggunakan teknologi yang sama untuk penghasilan vaksinnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:04 PM