Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima kadar sebanyak RM300.

"Golongan bujang pula akan menerima RM100.

"BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. "Bayaran ini adalah tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion.

"Seterusnya, saya juga mendengar permintaan rakyat supaya kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

"Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

"Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam enam bulan," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini.

Sementara itu, bagi mengurangkan beban pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang terkesan sepanjang sekatan pergerakan penuh, kerajaan memberi bantuan khas secara 'one-off' sebanyak RM500.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, ia akan diberikan kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.

"Bantuan berjumlah RM68 juta itu akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada Julai depan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kadar Geran Khas Prihatin (GKP) dinaikkan kepada RM1,500 bagi memastikan kelangsungan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menguruskan aliran tunai.

"Ini bermakna, hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada Julai.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu, kerajaan masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro.

"Oleh itu, sekiranya peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus.

"Selain itu, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman.

"Dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM5 bilion.

"Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 9:22 PM